Omar Ahmad


Kota Tinggi: Pekerja Kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS), bulan lalu.

Suhaina Sarwan, 46, menjawab faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hassan bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Suhaini didakwa memiliki artikel-artikel berkaitan kumpulan pengganas IS dan perbuatan pengganas di dalam komputer riba.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya di sini kira-kira 2.20 petang pada 30 Mei lalu.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan bacaan iaitu lima buku berkaitan dengan kumpulan pengganas IS dan perbuatan pengganas.

Pekerja kilang, Suhaini (tengah, baju hijau) didakwa atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS), bulan lalu. FOTO OMAR AHMAD
Pekerja kilang, Suhaini (tengah, baju hijau) didakwa atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS), bulan lalu. FOTO OMAR AHMAD

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Blok 9, Felda Lok Heng Barat di sini kira-kira jam 2.20 petang pada 30 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB (1) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai sebutan bagi keputusan permohonan pemindahan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kelmarin, Suhaini turut didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru bersama suaminya dan seorang lagi atas lima pertuduhan berasingan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS, bulan lalu.

Terdahulu, tertuduh yang tiba di perkarangan Mahkamah Kota Tinggi di sini pada jam 8.20 pagi dikawal ketat lebih 10 anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 11:01 AM