JAINAL @ Zainal Madasin, (dua dari kiri) menyampaikan alat pemadam api dan pengesan asap kepada salah seorang penduduk di Dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lubok Stol.
JAINAL @ Zainal Madasin, (dua dari kiri) menyampaikan alat pemadam api dan pengesan asap kepada salah seorang penduduk di Dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lubok Stol.
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Tugas pengurusan jenazah kes Covid-19 dilakukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, semakin berkurangan sejak program vaksinasi wabak itu dijalankan.

Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin berkata, kes berkurangan kepada dua hingga tiga jenazah sahaja sehari berbanding tujuh hingga lapan mangsa di seluruh Kelantan, sebelum ini.

Beliau berkata, penurunan kes dapat dilihat selepas majoriti rakyat menerima dos lengkap vaksinasi Covid-19 selain berharap agar kematian akibat wabak terus berkurangan selepas dos penggalak dilancarkan.

"Sejak Mac tahun lalu, sebanyak 1,762 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan di seluruh Kelantan dengan kes tertinggi di Pasir Puteh iaitu 413 kes, diikuti Kota Bharu dengan 399 kes dan Pasir Mas sebanyak 286 kes.

"Penugasan untuk proses pengebumian turut membabitkan pihak lain termasuk daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta waris mangsa bagi mempercepatkan urusan berkenaan.

"Kami mengharapkan agar jumlah kematian akibat wabak ini terus menurun selain menyarankan orang ramai mengambil vaksinasi serta dos penggalak yang dilihat mampu menangani penularan Covid-19," katanya pada sidang media ketika program 1 Rumah 1 Alat Pemadam Api (1RAPI) di Dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lubok Stol, di sini, hari ini.

Pada program itu, Zainal menyerahkan alat pemadam api dan pengesan asap kepada 20 keluarga di sekitar Kampung Lubok Stol sejajar dengan saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata, selain peka dengan kes Covid-19, pihaknya turut bersedia fizikal dan mental untuk menghadapi gelombang banjir yang dijangka berlaku Januari nanti.

Menurutnya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dititik beratkan dalam kalangan anggota selain mewajibkan pengambilan suntikan penggalak agar tiada yang dijangkiti wabak ketika penugasan.

"Setakat ini, 40 peratus daripada 1,245 anggota serta pegawai kami sudah menerima dos penggalak Covid-19 dan keutamaan diberikan kepada anggota bertugas untuk pengurusan banjir.

"Suntikan lengkap vaksinasi yang sebelum ini sudah 100 peratus diterima anggota JBPM Kelantan, manakala suntikan dos penggalak masih berjalan mengikut giliran diuruskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:11 PM