Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terbabit dalam pengurusan banjir dipastikan mempunyai tahap kesihatan baik selain tiada gejala Covid-19 bagi mengelak penularan wabak.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, bertugas dalam suasana Covid-19 adalah cabaran besar buat anggota terutama di pada musim banjir.

Beliau berkata, setakat ini 98 peratus anggota dan pegawai lengkap divaksinasi dan pihaknya kini dalam proses menerima dos penggalak.

"Selain penekanan terhadap pengambilan dos penggalak, JBPM sentiasa mengambil berat prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalankan tugas termasuk pemakaian set pakaian pelindung diri (PPE).

"JBPM pasti menghadapi kesulitan untuk berkhidmat ketika banjir terutama dalam membantu mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tetapi semua ini diketepikan demi menggalas tanggungjawab kepada masyarakat.

"Semua anggota sentiasa bersiap siaga selain memastikan kelengkapan logistik dalam keadaan baik untuk memberi khidmat cemerlang di sepanjang musim tengkujuh," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan (APC) Cemerlang Tahun 2020 di Dewan JBPM Tunjong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin dan Timbalan Pengarah JBPM Kelantan, Anwar Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 6:49 PM
SEBAHAGIAN anggota dan pegawai JBPM yang menerima Pingat Kebesaran Jabatan dan APC 2020 di Dewan JBPM Tunjong, Kota Bharu, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SEBAHAGIAN anggota dan pegawai JBPM yang menerima Pingat Kebesaran Jabatan dan APC 2020 di Dewan JBPM Tunjong, Kota Bharu, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR