PENYOKONG Ecuador meraikan kemenangan pasukan mereka. FOTO AFP
PENYOKONG Ecuador meraikan kemenangan pasukan mereka. FOTO AFP
Reuters

Las Vegas, Nevada: Ecuador kembali menghidupkan peluang untuk layak ke suku akhir Copa America selepas menang 3-1 ke atas Jamaica di Las Vegas, pagi ini.

Ecuador mendahului pada minit ke-13 hasil gol sendiri Jamaica, apabila hantaran silang Piero Hincapie dari sebelah kiri terkena kaki Kasey Palmer dan masuk ke gawang.

Pasukan Amerika Selatan itu menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti Kendry Paez sebelum rehat selepas bola terkena tangan Gregory Leigh sebelum Alan Minda mengesahkan kemenangan pada minit ke-91 hasil serangan balas pantas.

Jamaica yang kini di ambang penyingkiran mengurangkan defisit sejurus selepas separuh masa kedua hasil jaringan Michail Antonio sekali gus gol pertama dalam lapan perlawanan di Copa America.

Percubaan Ethan Pinnock terkena pertahanan Ecuador tetapi bola melantun kepada Antonio yang meledak rembatan untuk gol Jamaica.

Mereka menyangka memperoleh penalti pada minit ke-73 apabila pengadil Cristian Garay meneliti monitor VAR untuk memeriksa kemungkinan bola terkena tangan Alan Franco, tetapi pengadil memutuskan untuk tidak memberikan sepakan penalti.

Kemenangan itu membolehkan Ecuador yang ditewaskan Venezuela dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B terikat tiga mata bersama Mexico dan Venezuela yang turut beraksi hari ini.

Dua pasukan teratas dari kumpulan tersebut akan mara ke suku akhir. Jamaica kalah dalam perlawanan pembukaan kepada Mexico dan kini mesti menewaskan Venezuela dalam perlawanan terakhir untuk menghidupkan sisa harapan mereka.

Namun mereka akan tersingkir jika Mexico dan Venezuela seri atau Venezuela mengalahkan Mexico hari ini.

Jamaica akan menentang Venezuela di Austin, Texas dan Mexico berdepan Ecuador di Glendale, Arizona dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 10:23 AM