TENGKU Mohamad Rizam (dua, kiri) bersama Tengku Razaleigh (dua, kanan) menyaksikan penyerahan replika kunci masjid daripada Ab Aziz (kanan) kepada Zulkifle (kiri) sempena majlis penyerahan Masjid Razaleigh Gua Musang kepada MAIK. FOTO BERNAMA
TENGKU Mohamad Rizam (dua, kiri) bersama Tengku Razaleigh (dua, kanan) menyaksikan penyerahan replika kunci masjid daripada Ab Aziz (kanan) kepada Zulkifle (kiri) sempena majlis penyerahan Masjid Razaleigh Gua Musang kepada MAIK. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Gua Musang: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan terus memberi penekanan dalam menyampaikan maklumat berkaitan pemberian vaksin Covid-19, sama ada menerusi khutbah Jumaat mahupun solat fardu.

Yang Dipertuanya Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, usaha ini akan terus dilakukan kerana kadar pemberian vaksin Covid-19 terutama dos penggalak dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kepada rakyat di negeri ini masih lagi rendah berbanding negeri lain.

"Sebelum ini juga, kita telah menyampaikan maklumat mengenai manfaat pemberian vaksin Covid-19 kepada jemaah yang hadir ketika solat Jumaat ataupun solat fardu dan ia akan dilakukan secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Masjid Razaleigh kepada Maik, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad sedang mempertimbang untuk menguar-uarkan maklumat mengenai kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 melalui khutbah Jumaat serta kuliah pengajian agama di negara ini, khususnya di negeri-negeri pantai timur yang mempunyai kadar vaksinasi rendah berbanding negeri lain.

Mengulas mengenai majlis itu, Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, Masjid Razaleigh yang berkapasiti lebih 3,000 jemaah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V untuk dinaik taraf kepada masjid bandar.

"Masjid lama di Gua Musang akan terus beroperasi sebagai masjid iktikaf, manakala segala urusan solat Jumaat, pembayaran zakat dan lain-lain akan berpindah ke masjid baharu ini.

"Penyerahan daripada pihak jawatankuasa Masjid Razaleigh kepada pihak Maik adalah satu simbolik penting dan selaras dengan keperluan yang termaktub dalam enakmen Maik itu sendiri," katanya yang menambah jumlah kumulatif masjid bandar dan jajahan di seluruh Kelantan berjumlah 20 buah ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 5:01 PM