JUAN Orlando Hernandez. FOTO fail  AFP)
JUAN Orlando Hernandez. FOTO fail AFP)
AFP

New York: Mahkamah di New York pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 45 tahun terhadap bekas Presiden Honduras Juan Orlando Hernandez, selepas dia didapati bersalah mengedar ratusan tan kokain ke Amerika Syarikat (AS).

Penunjuk perasaan anti-Hernandez berhimpun di luar mahkamah Manhattan dan turut mengibarkan plakad yang mengecam jenayah bekas ketua negara itu dengan satu daripadanya tertera 'kerajaan narkotik - membuatkan rakyat berhijrah.'

"Peranan Hernandez adalah menggunakan kuasa politiknya sebagai presiden Kongres dan presiden Honduras untuk mengehadkan risiko pengedar dadah sebagai pertukaran wang," kata Hakim Kevin Castel ketika negarawan yang dihina itu hanya berdiri diam membisu.

Beliau berkata, Hernandez memberikan sokongan polis dan tentera serta membantu menghantar 400 tan dadah bernilai AS$10 bilion (kira-kira RM47.2 bilion) pada harga pasaran ke AS.

Hernandez yang memakai pakaian penjara dan menggunakan tongkat untuk memasuki mahkamah, sebelum ini menegaskan dia didakwa secara salah.

Hukuman terhadapnya juga termasuk denda AS$8 juta (kira-kira RM37.8 juta) adalah ringan berbanding hukuman penjara seumur hidup yang dipohon oleh pendakwa raya.

Umur Hernandez adalah 55 tahun dan ini bermakna dia mungkin mati di dalam penjara.

Hernandez yang menurut pendakwa raya AS menjadikan negaranya di Amerika Tengah menjadi "negara narkotik" semasa menjadi presiden penggal 2014-2022, sebelum ini sudah menyatakan melalui pasukan undang-undangnya, akan merayu sabitan itu.

Dia disabitkan pada Mac kerana memudahkan penyeludupan ratusan tan kokain terutamanya dari Colombia dan Venezuela ke AS melalui Honduras sejak 2004, lama sebelum dia menjadi presiden.

Hernandez menggunakan wang dadah itu untuk memperkayakan dirinya dan membiayai kempen politiknya, dan melakukan penipuan pilihan raya pada pilihan raya 2013 dan 2017, kata pendakwa raya.

Dia menunjukkan dirinya sebagai juara perang terhadap dadah dan pada mulanya dilihat oleh Washington sebagai sekutu dalam perjuangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 10:36 AM