Oleh Hakimi Suria Kencana dan Nor Hashimah Nor Hasim


Kuala Lumpur: "Bangunan bersejarah ini lambang sebenar Kuala Lumpur dan menjadi bukti pembangunan negara," kata pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

Menurutnya, pengabaian bangunan bersejarah dengan membiarkan ia tidak diselenggara dengan baik adalah satu kesalahan yang serius dan perlu diambil berat oleh pihak bertanggungjawab bagi menjaga harta warisan negara.

"British bina bangunan-bangunan ini banyak fungsinya yang tersendiri untuk kebaikan negara kita dahulu.

"Pengabaian bangunan bersejarah ini sangat tidak wajar untuk dilakukan kerana bangunan itu menjadi cermin kepada sejarah penubuhan dan pembangunan Malaysia," katanya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, jika bangunan bersejarah diselenggarakan dengan baik, pasti mendatangkan banyak manfaat kepada masyarakat tempatan mahupun pelancong luar.

"Kalau pihak berkuasa tempatan pandai mengambil kesempatan dalam penyelenggaraan bangunan bersejarah, mereka boleh jadikan bangunan ini sebagai tempat sewaan bagi menghidupkan kembali suasana.

"Mereka juga boleh menjadikan bangunan ini sebagai tarikan pelancongan baharu dengan membuat pelbagai jenis pameran dan acara kebudayaan," katanya.

Ditanya adakah bangunan bersejarah ini menjadi usang dan tidak terjaga kerana kurangnya keprihatinan masyarakat, Ramlah berkata, pada era 1970-an hingga 1980-an, masyarakat Malaysia mempunyai sikap keprihatinan yang tinggi terhadap warisan.

"Bagaimanapun, kini mereka lebih tertarik berbual mengenai perniagaan berbanding warisan.

"Mereka sebenarnya tidak perasan yang warisan juga boleh dijadikan sebagai perniagaan menguntungkan sambil mengekalkan kelestariannya," katanya.

Beliau berkata, pihak berkaitan bertanggungjawab menjaga bangunan bersejarah agar ia dapat dikekalkan sebagai warisan negara.

"Tambahan pula, bangunan di sekitar Dataran Merdeka ini merupakan pusat tarikan utama pelancong dari seluruh dunia.

"Agak malu dan tidak sedap mata memandang jika kita sajikan pemandangan bangunan yang usang dan tidak diselenggara kepada warga luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 11:01 AM