DORIVAL perlu pastikan pemainnya pamer aksi terbaik menentang Paraguay. FOTO AFP
DORIVAL perlu pastikan pemainnya pamer aksi terbaik menentang Paraguay. FOTO AFP
Agensi

Las Vegas, Amerika Syarikat: Penyokong Brazil menggesa rombakan besar dalam kesebelasan utama pasukan itu selepas kempen Copa America mereka bermula dengan kekecewaan.

Brazil sentiasa menjadi salah satu pasukan pilihan dalam mana-mana kejohanan, tetapi gagal memenuhi jangkaan dalam perlawanan pertama mereka di Copa America 2024.

Juara Piala Dunia lima kali itu hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Costa Rica di Los Angeles kelmarin, menjadikan Brazil kini tidak menang dalam lima perlawanan kompetitif.

Brazil tewas dalam tiga aksi kelayakan Piala Dunia berturut-turut, sekali gus hanya mengumpul tujuh mata daripada enam perlawanan.

Selepas hanya seri dengan Amerika Syarikat pada aksi persahabatan, legenda Brazil Ronaldinho mengatakan dia tidak akan menonton sebarang perlawanan negaranya lagi.

Keputusan seri pada Isnin lalu bukanlah satu bencana bagi pasukan Dorival Junior, tetapi kini nampaknya mereka tidak mungkin menjuarai Kumpulan D.

Kedudukan di tempat kedua akan mempertemukan Brazil dengan juara Kumpulan C di suku akhir dengan situasi semasa bakal milik Uruguay.

Walaupun Brazil mendominasi perlawanan menentang Costa Rica, Selecao gagal memecah kebuntuan untuk menjaringkan gol.

Dorival terpaksa menggantikan pemain sayap Barcelona Raphina dengan pemain yang bakal menyertai Manchester City, Savio, yang segera memberikan impak berkesan.

Savio yang tersenarai di kejohanan ini selepas musim cemerlang dengan kelab La Liga, Girona tampak lebih bertenaga berbanding bintang Real Madrid, Vinicius Junior, yang dikeluarkan ketika permainan berbaki 20 mini.

Penyokong Brazil kini menggesa Savio disenaraikan dalam kesebelasan utama pada aksi kedua Brazil menentang Paraguay Sabtu ini dan perlawanan terakhir kumpulan menentang Colombia pada Rabu depan.

"Savio salah satu daripada beberapa pemain Brazil sejati yang masih ada. Dia memang hebat," komen seorang peminat di aplikasi X.

Seorang peminat lain mencadangkan cara Brazil sepatutnya mengatur serangan mereka."Rodrygo patut berada di posisi 10, Vini di sebelah kiri, Savio di sebelah kanan. Evanilson atau Endrick di atas," kata penyokong lain.

Manakala ada yang meluahkan kebimbangan tentang Vinicius, yang dijangka memenangi Ballon d'Or 2024.

"Ada sesuatu yang sangat membimbangkan tentang Vinicius Jr. Dia tidak kelihatan seperti pemain yang sama seperti kita kenal," kata seorang peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 10:43 AM