KEMALANGAN yang mengakibatkan dua maut akibat dirempuh lori di Kilometer 92.8 Plus Arah Selatan, semalam. FOTO tular
KEMALANGAN yang mengakibatkan dua maut akibat dirempuh lori di Kilometer 92.8 Plus Arah Selatan, semalam. FOTO tular
Izad Thaqif Hassan

Gurun: "Memang saya bernasib baik kerana ketika itu baru mahu menghampiri motosikal selepas memakai baju hujan.

"Jika saya terus naik motosikal ketika itu, tidak tahulah bagaimana nasib yang menimpa diri," kata Mohd Aminnudin Yusof, 38, mangsa yang terselamat dalam kejadian rempuhan lori di Kilometer 92.8, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Selatan, semalam.

Menurutnya, dia bekerja sebagai penghantar barang dan ketika kejadian dalam perjalanan dari rumahnya di Guar Chempedak menuju ke Pulau Pinang kerana mempunyai urusan kerja.

"Bagaimanapun, ketika itu hujan lebat dan saya berhenti motosikal bawah jejambat kerana mahu memakai baju hujan sebelum meneruskan perjalanan.

"Namun, selepas selesai memakai baju hujan dan bersiap meneruskan perjalanan saya terkejut apabila mendengar dentuman berpunca daripada lori yang merempuh motosikal saya," katanya.

Menurutnya, motosikalnya adalah kenderaan pertama yang dirempuh lori terbabit sebelum dia melihat beberapa motosikal lain serta penunggang turut menjadi mangsa.

"Keadaan ketika itu membuatkan saya agak panik kerana pertama kali melihat sendiri depan mata keadaan mangsa yang berlumuran darah sambil merintih meminta menahan sakit.

"Saya juga sempat mendengar bunyi nafas kuat seorang mangsa yang sudah tidak bermaya dan dalam keadaan tercungap-cungap sebelum dia meninggal dunia ," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian kebanyakan penunggang motosikal baru berhenti dan berteduh bawah jejambat terbabit untuk memakai baju hujan.

"Seorang daripada mangsa yang meninggal dunia baru saja tiba dan dia meletak motosikalnya di hadapan saya sebelum dilihat mahu memakai baju hujan.

"Namun, belum sempat memakai baju hujan mangsa dirempuh lori berkenaan dan kejadian berlaku dengan pantas," katanya.

Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, dua lelaki dikenali sebagai Mohd Amirul Ismail, 28, dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31 meninggal dunia akibat dirempuh lori.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 6:55 PM