SOO FONG (dua kanan) membantu suaminya, Suppayah ketika berkempen. FOTO Mary Victoria Dass
SOO FONG (dua kanan) membantu suaminya, Suppayah ketika berkempen. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Kulai: "Saya berasa bertuah kerana isteri saya sanggup menemani dan membantu berkempen terutama ketika berjumpa pengundi Cina," kata calon Barisan Nasional (BN) Bukit Batu, S Suppayah, 57.

Suppayah berkata, isterinya, Lee Soo Fong, 53, juga sanggup bangun seawal 5 pagi bagi membuat persiapan sebelum mereka keluar berkempen mulai 7 pagi setiap hari.

Beliau mengakui sejak hari pertama berkempen sehingga kini, dia dan isterinya hanya mampu tidur empat hingga lima jam sehari.

"Kami sudah lebih 20 tahun berkahwin dan ketika saya menyatakan terpilih sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mewakili BN, isteri amat positif dan menyatakan hasratnya untuk membantu saya.

"Ia berikutan pengundi di kawasan DUN Bukit Batu majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa Tionghua (24,771), Melayu (16,770) dan India (3,790).

"Saya mampu memahami Mandarin, namun tidak fasih. Oleh itu isteri membantu berkomunikasi dengan pengundi berbangsa Tionghua ketika berkempen.

"Dia juga membantu ketika edaran risalah berkaitan PRN dan saya berasa bersyukur kerana isteri menjadi kekuatan sejak saya diumumkan sebagai calon," katanya.

Ketua Bahagian MIC Kulai itu berkata, selepas beberapa hari berkempen, beliau gembira menerima sambutan baik pengundi termasuk berbangsa Tionghua yang menyaksikan sokongan mereka beralih ke BN.

Beliau yang berkecimpung dalam politik selama 21 tahun berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat di kawasan berkenaan sebelum ini.

"Saya pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) selama 12 tahun serta menangani pelbagai permasalahan rakyat termasuk ketika pandemik Covid-19.

"Sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat, saya akan berusaha bagi menggerakkan perancangan pembangunan yang tergendala di kawasan berkenaan," katanya.

Suppayah berkata, terdapat pelbagai perancangan pembangunan tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) termasuk Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX) di Sedenak, namun pelaksanaannya diteruskan selepas BN mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri.

"Ia mampu menarik pelaburan tempatan dan asing menerusi syarikat khususnya berkaitan pengurusan data dan perkomputeran akan menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat termasuk pekerja separuh mahir dan sokongan.

"Malah kerajaan negeri Johor di bawah pemerintahan BN merancang untuk melaksanakan kerja-kerja meluruskan 'Selekoh S' Batu 21, jalan Johor Bahru-Air Hitam dengan kos RM8 juta, namun ia tergendala selepas PRU14," katanya.

Suppayah berkata, pengundi seharusnya bijak membuat pilihan dan tidak sewenang-wenangnya memberi mandat kepada 'calon penggembara' yang menjanjikan perubahan.

"Saya membesar di Kampung Seri Paya, Kulai dan mengetahui segala perkara berkaitan Bukit Batu dan sudah tentu saya tidak akan bersikap lepas tangan terhadap pengundi dan tiada masalah untuk saya turun padang bila-bila masa," katanya ketika ditemui.

PADA PRN Johor kali ini, Suppayah menghadapi persaingan daripada calon Parti Warisan Sabah, Lee Ming Wen; Parti Keadilan Rakyat, Arthur Chiong Sen Sern dan Perikatan Nasional (PN), Tan Heng Choon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 11:25 AM