Dr Zambry (dua dari kiri) hadir pada Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Dr Zambry (dua dari kiri) hadir pada Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MIC yang berhasrat mengemukakan petisyen pilihan raya susulan kekalahan tipis calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN sudah dimaklumkan mengenai hasrat berkenaan oleh presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

"Presiden (MIC) sudah bincang dengan saya supaya BN melihat semula keputusan DUN itu yang menyaksikan memberi kemenangan nipis di pihak sebelah sana. Mungkin di situ ada kewajaran akan dikemukakan oleh BN nanti.

"Kelmarin beliau sudah maklumkan kepada saya sebelum keluar kenyataan semalam (mengenai hasrat mengemukakan petisyen), jadi saya akan berbincang dengan beliau selanjutnya," katanya selepas menghadiri Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung, di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini hanya parti itu saja yang berhasrat untuk mengemukakan petisyen pilihan raya susulan kekalahan tipis mereka.

"Setakat ini kita belum ada lagi maklum balas dari rakan-rakan yang tewas. Bagaimanapun dalam kes Bukit Batu ini keadaannya begitu tipis sekali.

Di pihak BN (kita) akan melihat apa langkah seterusnya," katanya.

Semalam media melaporkan, MIC berhasrat mengemukakan petisyen pilihan raya susulan kekalahan tipis calon parti itu yang mewakili BN bagi kerusi DUN Bukit Batu pada PRN Johor.

S Suppayah, calon BN daripada MIC tewas dengan majoriti 137 undi, berbanding undi rosak yang difahamkan lebih 600.

Pada PRN Johor, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern memenangi kerusi berkenaan dengan 9,439 undi menewaskan calon MIC, S. Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 3:52 PM