Tosrin Jarvanthi.
Tosrin Jarvanthi.
Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Paling penting khidmat untuk rakyat, usia soal kedua," kata calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi, 71, yang juga calon tertua Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, calon muda atau tua bukan faktor penentu kemenangan tetapi niat dan matlamat untuk menyantuni masyarakat adalah penting.

"Saya yakin rakyat akan lihat rekod calon yang pernah menjadi wakil rakyat, ada buat sumbangan kepada masyarakat atau tidak," katanya.

Tosrin yakin pengundi akan terus memilihnya dan PN pada PRN Johor kerana sudah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat malah sepanjang menjadi wakil rakyat tidak pernah memilih bulu.

"Ketika menjadi wakil rakyat saya memberikan peruntukan secara adil kepada Melayu, Cina dan India tanpa mengira latar belakang politik," katanya.

Tosrin berkata, dia yakin rakyat Johor bersifat terbuka dan akan memilih parti atau gabungan yang menawarkan integriti serta kestabilan untuk masa depan mereka.

"Kami penuh yakin PRN kali ini akan jadi wadah rakyat Johor memilih kerajaan terbaik, selain juga percaya pilihan itu akan memberikan masa depan yang cemerlang.

"Mereka sewajarnya memberi peluang kepada PN untuk menerajui negeri Johor," katanya.

Sementara itu, Tosrin berkata, sepanjang kempen PRN, dia juga sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta menjaga kesihatan.

Beliau juga menasihati penyokong mahupun pengundi untuk sentiasa mengambil berat berkaitan keselamatan masing-masing.

"Walaupun kita sibuk berkempen, jangan lupa untuk mematuhi peraturan ditetapkan demi kepentingan semua," katanya.

Tosrin ditentang calon daripada parti MUDA, Azrol Rahani, selain Datuk Mohd Jafni Md Shukor (BN) dan Mokhtar Abdul Wahab (PEJUANG).

Ketua BERSATU Bahagian Kulai itu sedia mempertahankan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 2,531 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 7:23 PM