DERETAN bendera parti yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN)  Johor di Kampung Melayu Majidee. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
DERETAN bendera parti yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Melayu Majidee. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Mahaizura Abd Malik

Johor Bahru: Apapun strategi digunakan mana-mana jentera parti untuk meraih perhatian pengundi ketika berkempen perlulah secara matang dan bersaing secara sihat.

Anak Johor yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan, Mohd Syazwan Omar, 42, berkata taktik murahan meraih undi tidak akan mempengaruhi pengundi berikutan rakyat kini sudah pandai menilai pemimpin mana yang harus diberi mandat.

"Bagi saya amatlah tidak wajar (kempen memburukkan pihak lain) dan mana-mana parti pun haruslah berkempen secara berhemah.

"Memanglah kita faham, kadang-kadang itu cara pihak berkenaan hendak naikkan calon mereka tetapi janganlah sampai mempengaruhi rakyat dengan cara kempen tidak sihat atau menjatuhkan pihak lain.

"Kalau rakyat hendak pilih, biarlah mereka buat pilihan sendiri tanpa dipengaruhi dengan kempen yang tidak matang macam itu," katanya yang akan pulang mengundi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu depan.

Mohd Syazwan mengulas berkaitan penularan video berdurasi 2 minit 23 saat yang menampilkan aksi sekumpulan anak muda menaiki kenderaan untuk pulang ke kampung halaman sambil mendendangkan lagu popular Balik Kampung nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Lirik asal lagu dalam video itu turut diubah kepada mengajak anak Johor pulang mengundi untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dalam PRN ini.

Bagi pengundi Johor Lina Fuad, 33, yang menetap di ibu negara, kaedah berkempen seumpama itu memang sudah menjadi budaya di Malaysia kerana rakyat negara ini memang gemarkan perkara santai berbentuk hiburan.

"Memang cara macam ini sudah jadi trend kita kerana rakyat Malaysia memang suka benda viral dan berbentuk santai kalau serius tak minat.

"Jadi, situasi ini membuatkan pihak berkaitan ambil peluang untuk tarik perhatian pengundi dengan sasaran mereka untuk memenangkan calon mereka.

"Tetapi, cara kempen macam ini bagi saya tidak bagus dan seharusnya mereka bersaing secara sihat dan matang," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata, kaedah seumpama itu sukar dikekang kerana tidak menjadi satu kesalahan dan melanggar undang-undang berkempen dalam pilihan raya.

"Cara macam ini sudah biasa… mana-mana parti pun sama akan menggunakan strategi unik untuk meraih perhatian pengundi antaranya membuat kandungan unik macam dalam video itu atau animasi kartun dan sebagainya.

"Taktik itu sebagai satu hiburan atau selingan dalam berkempen ketika pilihan raya dalam usaha untuk menarik perhatian pengundi.

"Namun bagi saya, ia patut dikurangkan kerana nampak sesetengah parti yang memainkan sentimen macam ini tidak matang atau kebudak-budakan sebaliknya lebih bagus kalau perbanyakkan lagi agenda atau manifesto mereka dalam wacana kempen supaya rakyat dapat membuat penilaian yang mana satu pemimpin pilihan mereka yang layak," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 4:47 PM