Mohamed Farid Noh


Kulai: Perikatan Nasional (PN) berharap prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dipertimbangkan semula bagi memudahkan pergerakan calon memperkenalkan diri selain kempen diperluaskan di kawasan lebih besar.

Pengerusinya,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, SOP PRN Johor yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat agak ketat dan tidak praktikal.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, SOP termasuk ceramah yang hanya dibenarkan diadakan berhampiran bilik gerakan dengan hanya 100 orang itu tidak praktikal.

"Tidak akanlah orang dari seluruh Johor kena datang ke situ (bilik gerakan)yang mungkin agak jauh daripada kediaman mereka. Ini bagi saya tidak praktikal.

"Kalau satu kawasan ada 30,000 pengundi, macam mana kita nak hubungi semua pengundi dan minta mereka datang ke bilik gerakan bagi memperkenalkan calon dan berkempen.

"Kebenaran diberi pada 100 orang, kita kawallah tetapi tak akanlah hanya boleh buat (ceramah) di satu tempat sahaja.

"Sedangkan majlis sosial termasuk majlis perkahwinan dibenarkan. Apa beza kempen dengan majlis perkahwinan," katanya pada sidang media selepas Program Ramah Mesra Warga FELDA bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Dewan Serbaguna FELDA Taib Andak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu,Muhyiddin yang juga Pengerusi MPN berkata, SOP PRN Johor yang diperkenalkan itu mempunyai sedikit kelonggaran namun ia tidak memadai.

"Masa kempen tak panjang, hanya dua minggu. Bagaimana kita nak perkenalkan calon yang pengundi tidak kenal dalam SOP yang tidak praktikal ini.

"Saya harap SPR memtimbangkan semula SOP PRN Johor yang diumumkan itu," katanya.

MUHYIDDIN. FOTO arkib NSTP
MUHYIDDIN. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 1:27 PM