Mohd Amin Jalil


Seremban: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) tidak dapat menjangkakan tempoh gangguan bekalan air di sebahagian kawasan di Port Dickson dan Rantau akan berakhir.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, ini berikutan kerja baik pulih tebing sungai yang menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Linggi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat jam 3 petang tadi masih belum selesai sepenuhnya.

"Selagi kerja baik pulih tebing sungai belum diselesaikan oleh pihak JPS, LRA Linggi tidak boleh beroperasi membekalkan bekalan air terawat kepada semua kawasan terjejas.

"Sejak semalam, SAINS masih menunggu aliran air sungai memasuki muka sauk untuk menjalankan operasi loji.

"Sekiranya paras muka sauk sudah memenuhi paras ditetapkan, loji akan mula beroperasi dan dalam tempoh 48 jam bekalan air akan beransur pulih. Bagaimanapun, tempoh pemulihan bergantung kepada sistem retikulasi yang mana kawasan tinggi akan mengambil masa," katanya.

Norzita berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna di seluruh kawasan terbabit untuk terus bersabar dan memahami situasi dihadapi.

Beliau berkata, SAINS akan terus memberikan bantuan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas sehingga keadaan pulih.

"SAINS sangat berterima kasih di atas keprihatinan ditunjukkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun terhadap isu gangguan bekalan air ini.

"Kekerapan beliau turun ke tapak untuk melihat kerja-kerja menambak tebing sungai dan hadir ke kawasan agihan air bersama-sama penduduk yang terkesan amat bermakna," katanya.

ORANG ramai menunggu giliran untuk mengambil bekalan air di tangki statik yang disediakan oleh pihak SAINS di Dataran Rantau. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
ORANG ramai menunggu giliran untuk mengambil bekalan air di tangki statik yang disediakan oleh pihak SAINS di Dataran Rantau. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 6:46 PM