PROF Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. FOTO arkib NSTP
PROF Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi menerima Anugerah Pegawai Contoh Kumpulan Pengurusan Tertinggi Kategori Perkhidmatan Awam Persekutuan Tahun 2020 pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2021, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg bagi menghargai jasa dan komitmen Unimas membantu kerajaan negeri dalam menangani penularan Covid-19 selain meletakkan nama Unimas di peringkat global.

Unimas dalam satu kenyataan berkata, universiti itu mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) Intitut Pengajian Tinggi (IPT) Mega dan memberikan 108,273 dos vaksin kepada warga Kuching dan Samarahan dalam tempoh sebulan.

"Makmal Penyelidikan di Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Unimas (IKPK) turut menjalankan 55,000 ujian diagnostik bagi pengesanan Covid-19.

"Selain itu Makmal IKPK juga juga satu-satunya makmal penyelidikan di Sarawak yang melaksanakan pengesanan varian Covid-19 atau Genome Sequencing di IKPK selain turut terbabit dalam kajian pengesanan antibodi pasca vaksinasi," katanya.

Menurutnya, Unimas turut menempatkan diri dalam kalangan 1,201 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings.

"Dengan komitmen berterusan menyantuni komuniti melalui pelbagai projek dan kajian penyelidikan turut meletakkan Unimas dalam kalangan 301 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education Impact Rankings," katanya.

Kenyataan itu berkata, Anugerah Pegawai Contoh Kumpulan Pengurusan Tertinggi Kategori Perkhidmatan Awam Persekutuan Tahun 2020 yang diterima Dr Mohamad Kadim adalah pengiktirafan tertinggi Kerajaan Sarawak kepada penjawat awam Perkhidmatan Awam Persekutuan di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 11:07 AM