UNIMAS menempa nama di The Higher Education (THE) Impact Ranking dengan kedudukan 201 di dunia.
UNIMAS menempa nama di The Higher Education (THE) Impact Ranking dengan kedudukan 201 di dunia.
Norsyazwani Nasri

UNIVERSITI Malaysia Sarawak (UNIMAS) menempa nama di 'The Higher Education (THE) Impact Ranking' di kedudukan 201 dunia.

Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, tahun ini, UNIMAS menyertai kesemua 17 'Sustainable Development Goals' (SDG) yang disenaraikan berbanding dengan 11 SDG pada tahun sebelumnya.

"UNIMAS berjaya mengekalkan kedudukan di 201 terbaik dunia, walaupun dengan pertambahan penyertaan institusi pendidikan tinggi dunia dalam penarafan kali ini.

"THE Impact Ranking merupakan satu-satunya penarafan prestasi global yang menilai universiti melalui 'United Nation SDG'," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penarafan itu mempunyai beberapa kriteria yang dikalibrasi dengan teliti dalam tiga bidang teras utama iaitu penyelidikan (research), jangkauan (outreach) dan pengurusan (stewardship).

"Kedudukan UNIMAS meningkat pada 'SDG5 Gender Equality' iaitu di kedudukan 59 di dunia, 'SDG12 Responsible Consumption and Production' di kedudukan 101+ di dunia dan 'SDG13 Climate Action' di kedudukan 47 di dunia.

"Peningkatan ini berlaku berikutan usaha UNIMAS dalam menambah baik beberapa perkara selaras dengan pelaksanaan Dasar Kesamarataan dalam universiti, komitmen UNIMAS dalam pengurangan penggunaan karbon dalam kampus dan penerbitan laporan kelestarian untuk aktiviti komuniti di UNIMAS dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha mempertingkatkan lagi pencapaian universiti, UNIMAS sentiasa melakukan penambahbaikan berterusan terhadap aspek di dalam kawalan universiti seperti penyelidikan terutamanya membabitkan kesihatan dan pendidikan.

"UNIMAS juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti paten, pendapatan penyelidikan daripada industri, meningkatkan pengambilan penuntut dan kakitangan orang kurang upaya (OKU) serta memantapkan aktiviti kitar semula (sisa buangan, air dan elektrik)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 4:38 PM