Oleh Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Kementerian Pendidikan Tinggi menggalakkan konsep keserakanan dilaksanakan oleh 20 universiti awam di negara ini dalam melaksanakan penyelidikan.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi konsep berkenaan, semua tenaga pengajar akademik di semua universiti awam itu digalakkan bergerak di dalam satu pasukan ketika menjalankan penyelidikan.

Menurutnya, kekuatan semua universiti itu harus digembleng kerana hasilnya akan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara.

"Memang benar mereka bergerak atas nama universiti masing-masing, tetapi pada akhirnya mereka semua bertanggungjawab untuk meningkatkan lagi sektor pendidikan tinggi negara.

Syed Hussian  (kanan) bertemu dengan Mohamed Khaled.
Syed Hussian (kanan) bertemu dengan Mohamed Khaled.

"Justeru, pendekatan kementerian ketika ini ialah supaya melalui sektor pendidikan tinggi kita gembleng segala kekuatan yang ada (di semua universiti awam) untuk kita gerakkan bagi membantu pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja pertamanya ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Unimas Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Universiti awam disaran kongsi penyelidikanSri Sulong Matjeraie dan Ahli Lembaga Pengarah Unimas yang juga Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, sektor pendidikan tinggi sangat penting untuk menentukan hala tuju dan kebolehsaingan negara dalam menghadapi cabaran serta memeta perjalanan yang akan dapat memajukan negara.

Justeru, katanya, beliau meminta agar institut di sesebuah universiti yang berjaya melakukan banyak penyelidikan supaya bersedia berkongsi hasilnya dengan institut di universiti lain.

"Dalam konteks ini, saya sudah mengenal pasti kekuatan di sesebuah universiti dan di Unimas misalnya, mereka mempunyai kekuatan dalam penyelidikan biodiversiti.

"Kita melihat keluasan Sarawak dan potensi biodiversiti dan ini meletakkan Unimas memainkan peranan yang lebih besar dalam menjayakan disiplin biodiversiti dalam negara," katanya.

Menurutnya, memang banyak institut biodiversiti di universiti lain namun lokasi Unimas di Sarawak yang cukup luas dan kaya dengan khazanah biodiversiti membolehkan universiti itu memainkan peranan untuk menerajui penyelidikan dalam bidang berkenaan.

"Dalam soal institut biodiversiti ini, paling penting kita mahu melihat pengurusan hutan lestari dan ini perkara yang saya minta supaya dapat dikongsi pencapaian dengan universiti lain.

"Kementerian sedang mengkaji perkara ini dalam menentukan apa yang perlu untuk kita gembeleng segala kekuatan dan pastikan penyelidikan dilakukan secara bersepadu untuk kita menghasilkan perkara yang boleh memberi impak yang besar dan bermakna kepada negara dari sudut penyelidikan," katanya.

Dalam lawatan itu, Mohamed Khaled turut mengadakan mesyuarat dan taklimat tertutup bersama pengurusan tertinggi Unimas.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Hab Innotech Unimas sebelum mengakhiri lawatan dengan meninjau tapak projek pembinaan Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan Unimas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 4:58 PM
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Norden, membuat lawatan Kerja ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Chancelor UNIMAS Datuk Profesor Dr Mohamad Kadim Suaidi, turut kelihatan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid. FOTO NADIM BOKHARI
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Norden, membuat lawatan Kerja ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Chancelor UNIMAS Datuk Profesor Dr Mohamad Kadim Suaidi, turut kelihatan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid. FOTO NADIM BOKHARI