UTM terus memperkukuhkan kecemerlangan dengan berada di kedudukan ke-85 tahun ini dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2024. FOTO Arkib NSTP
UTM terus memperkukuhkan kecemerlangan dengan berada di kedudukan ke-85 tahun ini dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2024. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuhkan kecemerlangan dengan berada di kedudukan ke-85 tahun ini, berbanding 161 tahun lalu.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata ia adalah lonjakan besar yang tercatat dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2024.

Katanya, peningkatan kedudukan sebanyak 76 anak tangga dan tertinggi dalam negara berbanding universiti awam yang lain adalah pencapaian yang begitu signifikan bagi institusi ini.

"Kejayaan ini secara langsung telah menaikkan reputasi UTM sebagai antara institusi pendidikan tinggi awam terkemuka negara dan juga Asia dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

"The Times Higher Education Asia University Rankings 2024 adalah penilaian komprehensif yang membabitkan 739 universiti merentas 32 negara Asia," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Ahmad Fauzi, penilaian penarafan bagi 2024 adalah berpandukan kepada pengukuran lima indikator utama iaitu Kualiti Penyelidikan (Research Quality) (30 peratus), Persekitaran Penyelidikan (Research Environment) (28 peratus), Pengajaran (Teaching) (24.5 peratus), Industri (Industry) (10 peratus), serta Kesohoran Global (International Outlook) (7.5 peratus).

Katanya bagi edisi 2024, UTM menunjukkan peningkatan membanggakan dalam aspek Kualiti Penyelidikan, Pengajaran, Industri serta Kesohoran Global.

Menurut Ahmad Fauzi, prestasi cemerlang itu tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen utuh warga universiti serta kerjasama strategik yang produktif bersama pihak industri, agensi, sektor awam, dan tidak ketinggalan, alumni UTM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 10:31 AM