SETIAUSAHA Persekutuan Sarawak, Mohd Shahabuddin Omar (tengah) menyampaikan sijil dan trofi di Majlis Anugerah Cemerlang UNIMAS 2019. FOTO Norsyazwani Nasri
SETIAUSAHA Persekutuan Sarawak, Mohd Shahabuddin Omar (tengah) menyampaikan sijil dan trofi di Majlis Anugerah Cemerlang UNIMAS 2019. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

UNIVERSITI Malaysia Sarawak (UNIMAS) dinobatkan antara 1001 universiti terbaik dunia mengikut Times Higher Education, World University Ranking, tahun lalu.

Naib Canselor UNIMAS,Profesor Datuk Dr Mohmad Kadim Suaidi berkata, di peringkat kebangsaan, UNIMAS kini berada dalam kelompok 11 universiti terbaik Malaysia dan Universiti Terbaik di Pulau Borneo.

“Lebih manis lagi, Times Higher Education turut mengumumkan subjek kejuruteraan dan teknologi serta ekonomi dan perniagaan UNIMAS berada pada ranking 801 dan 501 terbaik dunia.

“UNIMAS turut berada pada kedudukan 301 terbaik dunia dalam Young World University Rankings, dan 201 terbaik dunia dalam University Impact Rankings,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Cemerlang UNIMAS (MAGU) 2019 di Kota Samarahan, semalam.

MAGU diadakan sejak 2010 adalah untuk meraikan penerima Anugerah Kecemerlangan dalam bidang akademik, pengurusan mahupun perkhidmatan serta meraikan pesara dan bakal pesara UNIMAS bagi 2019.

Menjelas lanjut katanya,UNIMAS sentiasa menggalakkan ahli akademik untuk menghasilkan produk penyelidikan yang berkualiti, memenuhi keperluan pasaran serta memberikan nilai tambah kepada masyarakat.

“Dalam menyokong usaha ini UNIMAS menghantar 15 penyertaan ke Malaysia Technology Expo 2020 (MTE 2020) pada 20 hingga 22 Febuari 2020 di Kuala Lumpur.

“Permulaan 2020 yang amat membanggakan kerana UNIMAS berjaya meraih satu Anugerah Khas, tiga emas, lima perak, enam gangsa dan satu merit,” katanya.

Beliau berkata, lebih 500 hasil penyelidikan dipertandingkan melibatkan penyelidik dan institusi dari Croatia, Indonesia, Iran, Poland, Arab Saudi, Taiwan and Vietnam.

“Melalui kejayaan ini, UNIMAS berharap akan merancakkan dan menggalakkan lagi penemuan baru yang dapat meningkatkan ciptaan produk dan inovasi baru dalam industri serta menyempurnakan kitaran penyelidikan, inovasi, pembangunan dan pengkomersilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 1:19 PM