Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, tiba di Bangunan Perhubungan Umno Negeri Johor di Jalan Yahya Awal, di sini, bagi mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Umno Johor.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor itu tiba kira-kira jam 2 petang.

Turut kelihatan menghadiri mesyuarat itu ialah Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden Umno; Ketua Umno Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahir Samad.

Turut kelihatan, Ketua Umno Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali yang juga Setiausaha Umno Johor dan Ketua Umno Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman.

Terdahulu, NSTP melaporkan, setiap ketua bahagian Umno Johor diarahkan untuk memberikan dua nama bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi dipertimbangkan sebagai calon parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN), yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Seorang ketua bahagian Umno Johor yang enggan namanya didedahkan berkata, itu arahan yang dikemukakan kepada semua 26 ketua bahagian parti itu yang akan menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor, petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 2:53 PM