Dun Johor
Dun Johor
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Khabar angin Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bakal dibubarkan dalam waktu terdekat tidak dapat ditepis lagi apabila Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dijangka akan mengadakan sidang media khas, esok.

Sumber UMNO juga tidak menolak kemungkinan sidang media khas itu adalah bagi mengumumkan butiran pembubaran DUN Johor.

"Esok dijangka diadakan mesyuarat khas UMNO Johor bagi membincangkan secara lanjut mengenai PRN negeri terutama pembentangan nama-nama calon.

"Kesemua 26 ketua bahagian UMNO Johor akan hadir mesyuarat esok dan selepas itu satu sidang media khas dijangka diadakan.

"Setakat ini masih tiada tarikh sebenar pembubaran DUN Johor seperti yang dilaporkan sebuah portal semalam, namun ia memang ke arah itu dalam masa terdekat.

"Hanya Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor boleh menjawab berkenaan tarikh pembubaran DUN dan mungkin ia akan terjawab esok," katanya ketika dihubungi.

Sebuah portal semalam mendakwa surat permohonan pembubaran DUN oleh Menteri Besar telah dihantar kepada pejabat Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat.

Laporan itu yang memetik sumber UMNO turut mendakwa, DUN Johor akan dibubar pada Ahad ini, selepas permohonan untuk pembubaran DUN telah mendapat perkenan Istana Johor.

Semalam, Hasni ketika berucap pada sebuah majlis di Iskandar Puteri dilaporkan memberi isyarat PRN Johor, mungkin diadakan dalam masa terdekat.

Hasni yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Benut dilaporkan turut memberi jaminan, jika PRN Johor dilaksanakan dalam waktu terdekat, ia tidak akan mengganggu sebarang urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Isyarat DUN Johor bakal dibubarkan mula dihidu sejak akhir tahun lalu, apabila beberapa siri mesyuarat berlangsung antara pimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan Pusat terutama selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian, 21 Disember lalu

Ia disusuli dengan pertemuan antara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar awal bulan ini, yang antara lain dipercayai menyembah maklum hasrat kerajaan negeri utuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRN dilaksanakan selepas kerajaan negeri memiliki satu majaoriti di dalam DUN.

Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu) sementara AMANAH (enam) dan PKR pula (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Dalam pada itu, sumber UMNO turut memaklumkan Presiden UMNO dijangka akan berada di Johor Bahru, Selasa ini.

"Presiden UMNO dijangka akan mengadakan mesyuarat dengan UMNO Johor berhubung PRN Johor dengan lebih lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 11:18 AM