Ahmad Zahid Hamidi bersama Mohamad Hasan dan Hasni Mohammad serta ahli majlis tertinggi pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pusat Operasi Zon Barat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ahmad Zahid Hamidi bersama Mohamad Hasan dan Hasni Mohammad serta ahli majlis tertinggi pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pusat Operasi Zon Barat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Barisan Nasional (BN) Johor menafikan tuduhan segelintir pihak yang mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan adalah mengikut kehendak kluster mahkamah.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata pelbagai tuduhan dilemparkan pembangkang yang menyalahkannya berikutan mengambil keputusan mengadakan PRN itu.

"Saya dituduh buat PRN Johor kerana mengikut kehendak kluster mahkamah. Dituduh adakan PRN untuk memulakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"BN Johor dituduh adakan PRN sekarang bagi menyekat pengundi keluar mengundi nanti. Saya juga dituduh adakan PRN ketika ini supaya mereka yang bekerja di Singapura tak boleh balik mengundi dan pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan segelintir golongan terutama pembangkang.

"Namun mereka tidak sekelumit pun fikir kita adakan PRN untuk dapat kerajaan yang stabil bagi membangunkan negeri yang lebih kukuh dan kuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pusat Operasi Zon Barat, di Stadium Tertutup Educity, di sini, malam tadi.

Ia dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Pengarah PRN Johor.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Mohamed.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor yang juga Ketua Penyelaras PRN Johor berkata, beliau boleh sahaja menunggu 481 hari lagi sebelum penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) tamat, jika mahu mengekalkan jawatannya.

"BN boleh sahaja tunggu sampai habis penggal dan selesa dengan jawatan dipegang.

"Namun 481 hari itu kalau kita tidak lakukan sesuatu dan kembalikan mandat rakyat, kita akan nafikan hak dan suara sebenar rakyat Johor," katanya.

Hasni turut memberi amaran kepada pembangkang supaya berjaga-jaga dengan kebangkitan BN pada PRN Johor.

"Hari ini, kita nak beritahu parti bertanding lain, kekuatan BN jika dihimpunkan, tak akan ada stadium atau padang mampu muatkan penyokong kita.

"Sebab itu kita bahagi-bahagikan pelancaran jentera BN Johor mengikut zon kerana jentera kita terlalu ramai dan besar jumlahnya. BN dan UMNO Johor sudah bersedia menggerakkan jentera PRN bagi memastikan kebangkitan parti nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 8:54 AM