HASNI Mohamad. FOTO NSTP
HASNI Mohamad. FOTO NSTP
Izz Laily Hussein


Pontian: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad yang digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor terasa dirinya seolah dibuli.

"Saya sedaya upaya memberikan yang terbaik sejak menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor pada 2018 dan mengetuai Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu sehingga memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Saya juga sudah melakukan yang terbaik pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) dengan memastikan kehadiran semua perwakilan daripada 26 Bahagian Umno di Johor serta menjaga kebajikan mereka.

"Saya rasa hanya kerana saya menyokong idea untuk jawatan tertinggi parti dipertandingkan, mereka merasakan bahawa saya menentang kehendak parti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perkahwinan di Citra Sri Pinang, Benut di sini, hari ini.

Ahli DUN Benut itu berkata demikian, mengulas kedudukannya yang diambil alih Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hasni berkata, tiada masalah untuknya menyokong keputusan berkenaan jika penggantian itu untuk menguatkan lagi kedudukan Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno di peringkat pusat.

"Tetapi, jika kedudukan itu hanya semata-mata pendekatan untuk mempertahankan orang-orang tertentu, saya percaya beliau akan menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian," tegasnya.

Keputusan menggugurkan Hasni dan digantikan dengan Mohamed Khaled dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Hasni berkata, beliau turut menghadiri mesyuarat itu namun tidak diberi peluang untuk menjelaskan sesuatu.

Jelasnya, beliau masih Ahli Majlis Tertinggi Umno dan berharap pemimpin yang dipecat mahupun digantung keahlian masih berpeluang membuat rayuan.

Mesyuarat itu menyaksikan bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat, sementara beberapa pemimpin lain digantung keahlian selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 8:34 PM