LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger atau nama sebenar Abd Hamim Ab Hamid, 33, yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu, cuba menggunakan laluan laut untuk keluar dari negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek cuba keluar dari negara ini menggunakan laluan laut selepas menyembunyikan diri di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah.

Beliau berkata, suspek beranggapan akan selamat apabila tiba di kawasan perairan antarabangsa, namun cubaannya itu gagal selepas polis berjaya menahannya, semalam.

"Penahanan suspek hasil kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman yang dapat mengesannya walaupun dia cuba memadamkan telefon bimbitnya sekali sekala bagi mengelak dijejaki.

"Namun kita berjaya menjejakinya sehingga dia akhirnya ditahan semalam hasil kerjasama antara polis Johor yang menyalurkan maklumat berkaitan rakan dan keluarganya sebelum maklumat diperoleh itu dikembangkan untuk menjejaki ke mana dia pergi," katanya dalam temubual bersama Harian Metro, di pejabatnya di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abd Jalil berkata, beberapa individu yang membantu Long Tiger sudah ditahan di Sungai Petani, Kedah; Butterworth, Pulau Pinang dan di negeri lain.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat dan mengesan rakan lain yang membantu mengerakkannya dari Johor serta melindungi Long Tiger.

Harian Metro semalam melaporkan Long Tiger ditahan selepas didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani.

Ketika ditahan pada 3 petang itu, Long Tiger dikesan cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah, namun tergelincir jatuh di lantai dapur rumah.

Untuk rekod, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan bermula kira-kira 11.55 pagi pada 15 Disember lalu.

Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.

Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 5:30 PM