ABD Hamim atau Long Tiger.
ABD Hamim atau Long Tiger.
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Lelaki etnik Rohingya, Long Tiger atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid, 33, yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, 15 Disember, kini masih direman selain menjalani kuarantin 14 hari di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin berkata, Long Tiger direman dan dikuarantin bermula semalam sehingga 18 Januari ini.

Kata beliau, kertas siasatan kes lelaki itu juga sudah siap dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

"Long Tiger masih direman di penjara atas kes lamanya iaitu Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah selain menjalani kuarantin 14 hari bermula semalam hingga 18 Januari.

"Polis Johor kini hanya menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara dan bersedia membuat pendakwaan sebaik suspek selesai menjalani reman dan kuarantin.

"Lapan suspek yang bersubahat dengan suspek yang berusia 30 hingga 40-an sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada 1 Januari lalu dan akan didakwa bersama suspek nanti.

"Lapan yang bersubahat itu akan didakwa kerana bersubahat membantu menyembunyikan Long Tiger termasuk memotong gari, membeli kad sim, telefon serta pakaian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Long Tiger yang dipercayai dalam perjalanan melarikan diri sama ada ke Thailand atau Indonesia selepas meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak di Jalan Kuala Ketil, Alor Setar, Kedah pada 28 Disember lalu.

Long Tiger juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

Sementara itu, Kok Chin berkata, Long Tiger didapati negatif Covid-19 cuma tahanan reman yang dijalankan adalah prosedur reman penjara.

"Ia adalah untuk kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:26 PM