LONG Tiger diiringi anggota polis dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak. FOTO Essa Abu Yamin
LONG Tiger diiringi anggota polis dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Tangkak: Lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang ditangkap polis di Sungai Petani, Kedah, semalam, dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak, pagi tadi.

Long Tiger atau nama sebenar Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dibawa ke mahkamah bersama tiga lagi lelaki termasuk seorang berperwatakan wanita berusia antara 36 hingga 46 tahun dipercayai memberi perlindungan kepada suspek.

Perintah tahanan reman terhadap Long Tiger dan tiga lagi suspek bermula hari ini sehingga 1 Januari dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin.

Penahanan Long Tiger semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 216 kanun sama kerana menyembunyikan tahanan.

Long Tiger yang menjadi buruan polis sejak 15 Disember lalu dikawal ketat oleh kira-kira 20 pegawai dan anggota polis.

Terdahulu, Long Tiger berjaya ditahan semalam selepas didapati bersembunyi di rumah seorang pondan di Sungai Petani, Kedah.

Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali menarik diri daripada mewakilinya.

Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 2:33 PM