ABD Hamim atau Long Tiger.
ABD Hamim atau Long Tiger.
Essa Abu Yamin


Tangkak: Prosiding pendakwaan terhadap lelaki Rohingya, Long Tiger atau nama sebenar Abd Hamim Ab Hamid yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu yang dijangka dijalankan hari ini terpaksa ditangguhkan esok.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, prosiding pendakwaan terhadap Long Tiger yang sepatutnya dijalankan di Mahkamah Majistret Tangkak hari ini ditangguhkan.

"Polis cuma dimaklumkan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk melakukan prosiding pendakwaan pada esok," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, Abd Hamim akan didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini.

"Long Tiger dijangka didakwa 19 Januari ini di Tangkak selepas perintah tahanan remannya berakhir," katanya.

Pada 6 Januari, Abd Hamim, 33, dilaporkan masih direman selain menjalani kuarantin 14 hari di Penjara Sungai Udang, Melaka bermula 5 Januari sehingga semalam.

Long Tiger dilaporkan meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu, dipercayai dalam perjalanan menyelinap ke negara jiran sebelum ditahan di Jalan Kuala Ketil, Alor Setar, Kedah, pada 28 Disember.

Long Tiger meloloskan diri melalui pintu hadapan mahkamah ketika menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Muar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 11:12 AM