Long Tiger.
Long Tiger.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahruu: Lelaki Rohingya, Long Tiger atau nama sebenar Abd Hamim Ab Hamid yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu, dijangka didakwa di mahkamah, Rabu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, Abd Hamim akan didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak.

"Long Tiger akan didakwa 19 Januari ini di Tangkak selepas perintah tahanan remannya berakhir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Pada 6 Januari lalu, Abd Hamim, 33, dilaporkan masih direman selain menjalani kuarantin 14 hari di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin, dilaporkan berkata Long Tiger, direman dan dikuarantin mulai 5 Januari sehingga 18 Januari ini.

Long Tiger dilaporkan meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu, dipercayai dalam perjalanan menyelinap ke negara jiran sebelum ditahan di Jalan Kuala Ketil, Alor Setar, Kedah, pada 28 Disember.

Long Tiger meloloskan diri melalui pintu hadapan mahkamah ketika menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

Dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 11:58 AM