MERIH Demiral ketika melakukan simbol kontroversi sebaik menjaringkan gol keduanya. FOTO AFP
MERIH Demiral ketika melakukan simbol kontroversi sebaik menjaringkan gol keduanya. FOTO AFP
AFP

Berlin: UEFA berkata mereka sudah memulakan siasatan terhadap pemain pertahanan Turki, Merih Demiral kerana menunjukkan simbol yang didakwa ultra-nasionalis ketika meraikan gol kemenangan 2-1 ke atas Austria di Euro 2024.

Penganjur kejohanan itu dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang menyiasat pemain itu kerana 'berkelakuan tidak sesuai' semasa aksi kalah mati di Leipzig, awal pagi tadi.

Isyarat itu, yang dilakukan oleh Demiral kepada penonton selepas menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan berkenaan, dikaitkan dengan kumpulan ultra-nasionalis Turkiye, Grey Wolves.

Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser mengecam sambutan gol pemain Turkiye itu.

"Simbol ekstremis sayap kanan Turkiye tidak boleh diterima di stadium kita," kata Faeser di X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

"Menggunakan kejohanan bola sepak Eropah sebagai platform untuk perkauman adalah sama sekali tidak dapat diterima," tambahnya.

Bercakap selepas perlawanan di Leipzig, Demiral berkata, tiada 'mesej tersembunyi' ketika meraikan jaringannya itu.

"Cara saya meraikan ada kaitan dengan identiti Turkiye saya," kata Demiral, yang dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan kedua-dua gol Turkiye.

"Kami semua orang Turkiye, saya sangat berbangga menjadi orang Turkiye dan itulah maksud isyarat ini," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 7:46 PM