Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger atau nama sebenar Abd Hamim Ab Hamid, 33, yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu, dipercayai dalam perjalanan melarikan diri ke negara jiran sebelum ditahan di Jalan Kuala Ketil, Alor Setar, Kedah, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, banduan itu turut dibantu oleh dua individu lain untuk melarikan diri ke Kedah.

"Hasil siasatan polis membuat tangkapan susulan ke atas dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun yang dipercayai bersekongkol dengan suspek di sekitar Batu Pahat, antara jam 7.25 malam hingga 3 pagi tadi.

"Mereka dipercayai membantu suspek dengan memotong gari selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke utara negara.

"Polis percaya Long Tiger yang melarikan diri ke Kedah dalam perjalanan keluar dari negara ini, sama ada ke Thailand dan Indonesia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Media sebelum ini melaporkan Long Tiger yang berjaya ditahan semalam, didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, dekat sini.

Ketika ditahan kira-kira jam 3 petang itu, Long Tiger dikesan sekali lagi cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun tergelincir jatuh di lantai dapur rumah.

Untuk rekod, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan bermula pada 15 Disember lalu, kira-kira jam 11.55 pagi.

Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.

Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.

Berita berkaitan

Long Tiger sembunyi di rumah pondan

Long Tiger dicekup akhirnya

Peguam Long Tiger tarik diri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 1:31 PM