Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sektor awam dan swasta perlu bekerjasama dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam menyemarakkan usaha pendigitalan perkhidmatan dan penyampaian kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut menekankan bahawa dengan kolaborasi antara sektor awam dan swasta, Malaysia akan melangkah ke ekonomi digital dengan yakin dan cukup bersedia.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Permodalan Nasional Bhd (PNB) kerana menganjurkan Minggu Saham Digital (MSD) buat kali kedua tahun ini, setelah penganjuran yang mendapat sambutan menggalakkan pada tahun lepas.

"Pada saat negara masih bekerja keras menguruskan ancaman pandemik Covid-19, PNB tetap meneruskan agenda literasi kewangannya, malah ditambah baik agar lebih ramai dapat terbabit sama," katanya dalam perutusan video sempena majlis pelancaran rasmi Minggu Saham Digital 2021 di sini, hari ini.

Ismail Sabri turut menyatakan bahawa MSD adalah platform terbaik bagi rakyat Malaysia untuk sama-sama mempelajari tip mengurus kewangan, menabung dan melabur dalam suasana santai dan selesa bersama keluarga.

"Saya menyambut baik inisiatif PNB menganjurkan MSD sekali lagi bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang pengurusan kewangan," ujar beliau lagi.

Sementara itu, pengerusi kumpulan PNB Tun Arifin Zakaria berkata MSD yang julung kali dianjurkan tahun lepas telah berjaya menarik lebih dua juta tontonan untuk acara yang berlangsung selama tujuh hari.

"Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) sejak dua dekad lalu bermula 2000 hingga 2019 berjaya menarik penyertaan kira-kira empat juta rakyat Malaysia selama 20 tahun penganjurannya.

Beliau turut menegaskan bahawa MSD akan kekal sebagai salah satu platform interaktif untuk rakyat Malaysia mendalami ilmu kewangan dan mengenali PNB serta syarikat pelaburan dengan lebih dekat.

Bertemakan #LaburBersama, MSD 2021 berlangsung dari 17 November hingga 23 November dengan aktiviti yang bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman orang ramai tentang simpanan dan pelaburan dalam format hibur didik, sambil mempamerkan portfolio syarikat PNB dan operasi perniagaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 5:05 PM