PUNCAK Gunung Everest di Banjaran Himalaya dilihat dari Kathmandu, Nepal. FOTO Reuters
PUNCAK Gunung Everest di Banjaran Himalaya dilihat dari Kathmandu, Nepal. FOTO Reuters
AFP

Kathmandu: Pasukan penyelamat menemukan mayat seorang daripada dua pendaki Mongolia yang hilang di Gunung Everest, pada Jumaat.

Penganjur ekspedisi berkata, itu adalah kematian pertama disahkan di puncak tertinggi dunia itu pada musim pendakian gunung tahun ini.

Usukhjargal Tsedendamba, 53, dan Purevsuren Lkhagvajav, 31, kali terakhir melakukan komunikasi pada petang Ahad, dari Kem 4, yang terletak kurang satu kilometer (km) di bawah puncak.

Mayat Tsedendamba ditemukan di ketinggian 8,600 meter (m) pada pagi Jumaat selepas operasi mencari dan menyelamat berhari-hari, terjejas akibat cuaca buruk.

"Nampaknya, dia (ketika kejadian) turun dari puncak. Pencarian diteruskan untuk pendaki lain," kata Lakpa Sherpa dari 8k Expeditions, yang menganjurkan permit pendakian kedua-dua mereka.

Sherpa itu berkata, kedua-dua lelaki itu mendaki tanpa jurupandu dan walkie-talkie mereka ditemukan di dalam khemah mereka.

Jabatan pelancongan Nepal dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pasukan lain melihat pasangan itu menuju ke puncak Gunung Everest pada pagi Isnin.

Beratus-ratus pendaki berpusu-pusu ke Nepal iaitu rumah kepada lapan daripada 14 puncak tertinggi di dunia pada musim pendakian musim bunga apabila suhu lebih panas dan angin yang biasanya tenang.

Nepal sudah mengeluarkan lebih 900 permit untuk pendakian gunungnya tahun ini, termasuk 419 untuk Gunung Everest, memperoleh lebih daripada AS$5 juta (kira-kira RM23 juta) dalam bentuk royalti.

Kira-kira 80 pendaki sudah sampai ke puncak Gunung Everest setinggi 8,849 m, tahun ini.

Dalam pada itu, dua pendaki maut di Gunung Makalu, puncak kelima tertinggi di dunia, tahun ini.

Pendaki Perancis, Johnny Saliba, 60, meninggal dunia pada ketinggian 8,120 m semasa pendakiannya ke puncak pada Ahad minggu lalu.

Seorang pemandu Nepal berusia 53 tahun meninggal dunia di puncak yang sama minggu lalu ketika turun dari puncak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 11:31 AM