Datuk Seri Fatimah Abdullah melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan bangunan baharu Persatuan Autistik Kuching (KAA) di Desa Wira, Batu Kawa, hari ini. FOTO NADIM BOKHARI
Datuk Seri Fatimah Abdullah melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan bangunan baharu Persatuan Autistik Kuching (KAA) di Desa Wira, Batu Kawa, hari ini. FOTO NADIM BOKHARI
Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Orang ramai berhasrat mengambil anak angkat perlu berhati-hati dengan sindiket menawarkan sijil lahir palsu kerana dikhuatiri mereka aktif semula di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kegiatan itu pernah dikesan di Sarawak sebelum ini apabila banyak kes penipuan sijil lahir anak angkat dikaitkan dengan individu dikenali 'Auntie Kong'.

Bagaimanapun katanya, kes membabitkan 'Auntie Kong' lenyap selepas pihaknya bersama Kerajaan Persekutuan menubuhkan Jawatankuasa Khas di bawah Perkara 15 (A) Perlembagaan Persekutuan pada 2016 bagi menangani isu kewarganegaraan membabitkan anak angkat.

"Penggunaan sijil lahir palsu itu hanya dapat dikesan apabila anak angkat terbabit mencapai usia wajib untuk membuat kad pengenalan.

"Ianya terbongkar apabila semakan di dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menemui rekod kanak-kanak itu seperti tertera di dalam sijil lahir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara pecah tanah projek pembinaan bangunan baharu Persatuan Autistik Kuching (KAA) yang dibina dengan kos RM5 juta di Desa Wira, Batu Kawa, di sini, hari ini.

Justeru, Fatimah berkata, orang ramai yang mahu mengambil anak angkat perlu berhati-hati dan menggunakan saluran betul di JPN, bukannya berurusan dengan orang tengah seperti 'Auntie Kong'.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPN di Putrajaya, mendedahkan terdapat kes membabitkan penggunaan dokumen pengenalan diri palsu, seperti kad pengenalan, dikesan apabila pemegangnya mencapai umur 12 tahun atau semasa peralihan daripada MyKid kepada MyKad.

Menurut Saifuddin, terdapat kes pasangan yang mengambil anak angkat mengisytiharkan kepada JPN bahawa bayi itu adalah anak kandung mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 12:24 PM