Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) komited melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia bijak mengurus kewangan dan meningkatkan kesedaran pelaburan menerusi penganjuran acara tahunan, Minggu Saham Digital (MSD) 2021 bermula 17 hingga 23 November depan.

Untuk rekod, MSD adalah adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang dianjurkan secara fizikal selama dua dekad sejak tahun 2000 hingga 2019.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, penganjuran MSD 2021 bertemakan #LaburBersama diteruskan lagi buat kali kedua secara maya selepas kejayaan meraih lebih dua juta tontonan menerusi platform sama tahun lalu akibat penularan Covid-19.

Katanya, pihaknya yakin dapat menarik jumlah penyertaan lebih ramai rakyat Malaysia tahun ini dengan menampilkan kandungan berkualiti tinggi serta pelbagai pengisian program menarik atas talian bagi melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia celik kewangan dan pelaburan serta bijak merancang kewangan.

"Fokus PNB adalah mencipta nilai dan menghasilkan pulangan lestari jangka panjang untuk pemegang unit.

"Usaha ini seiring dengan komitmen kami meningkatkan standard literasi kewangan dan memperkasakan rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan yang lebih baik demi masa depan mereka.

"Selaras objektif Minggu Saham Amanah Malaysia, MSD kekal sebagai platform literasi kewangan bersepadu PNB untuk mencapai matlamat ini," katanya sempena Pra Pelancaran MSD 2021 secara maya hari ini.

Katanya, MSD 2021 turut mendapat sokongan daripada rakan korporat merangkumi Rakan Premier, Rakan Utama dan Rakan yang menyumbang pengisian program serta menaja hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000 untuk pemenang bertuah.

"MSD 2021 turut menampilkan lebih 70 program didik hibur, bual bicara dan webinar yang disertai pakar bidang berkaitan serta penampilan khas personaliti dan selebriti tanah air.

"Saya ingin menjemput semua orang menyertai peraduan utama kami, Jom.. Kira Duit yang akan bermula esok serta beberapa cabutan bertuah dan kuiz harian 'Live Trivia' sepanjang penganjuran MSD 2021.

"Antara hadiah utama paling dinantikan ramai ialah Hyundai Kona tajaan Sime Darby Berhad, Toyota Yaris dari UMW Holdings serta Perodua Ativa dari Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) serta beberapa motosikal Honda Dash 125 sumbangan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF)," katanya.

MSD 2021 akan disiarkan secara langsung setiap hari melalui laman rasmi Facebook dan YouTube MSD dari 17 hingga 23 November mulai 12.30 tengah hari hingga 10 malam.

Sebarang maklumat atau pendaftaran penyertaan program dan peraduan sepanjang MSD 2021, orang ramai boleh melayari laman web rasmi MSD di www.minggusahamdigital.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 1:34 PM