Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev bertukar dokumen selepas menandatangani kenyataan bersama pada pertemuan di Istana Presiden Kuksaroy di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev bertukar dokumen selepas menandatangani kenyataan bersama pada pertemuan di Istana Presiden Kuksaroy di sini hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tashkent: Uzbekistan menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan piawaian halal di negara itu mencapai ke tahap yang sama seperti dilaksanakan oleh JAKIM, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata ia adalah antara intipati kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala delegasi Malaysia diketuai beliau bersama Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev di sini semalam.

Beliau berkata Uzbekistan juga berhasrat untuk bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi meningkatkan kualiti rawatan di negara itu serta menjalankan projek-projek bersama.

Anwar berkata negara itu juga menyatakan hasrat untuk perkukuh kerjasama antara ASEAN dan Asia Tengah.

"Uzbekistan berhasrat menghantar Menteri Pertanian ke Malaysia untuk mempelajari kaedah dan teknologi penjimatan air yang cekap untuk tujuan saliran dan pertanian di Uzbekistan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam mesyuarat selama lebih satu jam, Anwar berkata Presiden Mirziyoyev antara lain menyatakan penghargaan terhadap ketegasan Malaysia memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin.

"Malaysia dan Uzbekistan berkongsi pendirian mahu melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka," katanya.

Beliau berkata Presiden Mirziyoyev juga meyambut baik usaha keras dan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia melawan rasuah dan salah guna kuasa, selain menghargai nilai-nilai yang diangkat dalam gagasan MADANI.

"Saya dan Presiden Mirziyoyev senada mahu memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, khususnya terkait perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama dalam sektor pendidikan, tenaga, industri halal, pertanian, pengangkutan, teknologi digital, kesihatan, pelancongan, kebudayaan serta kewangan dan perbankan Islam," katanya.

Anwar berkata beliau turut menjemput Presiden Uzbekistan itu untuk datang ke Malaysia, khususnya bagi menyertai Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Kuala Lumpur pada 28 Mei depan.

"Saya amat menghargai perbincangan ini yang berlangsung dalam suasana persahabatan, dan ia ternyata telah memperkukuh hubungan erat kedua-dua negara," katanya.

Anwar tiba di sini pada Jumaat bagi lawatan rasmi tiga hari di Uzbekistan.

Antara anggota delegasi Malaysia sewaktu lawatan di Uzbekistan adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 11:58 AM