Penyerang Terengganu FC, Ismaheel Akinade (tengah) idam buru gol pertama berdepan Penang FC, malam esok. FOTO Ghazali Kori
Penyerang Terengganu FC, Ismaheel Akinade (tengah) idam buru gol pertama berdepan Penang FC, malam esok. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas tenggelam pada aksi pertama, penyerang utama Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade laung keyakinan untuk 'mengganas' apabila pasukannya berdepan Penang FC di tempat lawan pada malam esok.

Bekas pemain Kelantan United FC dan Kelantan FC itu berkata, kesukaran untuk bergerak bebas selepas 'dirantai' pertahanan Perak FC pada aksi pertama minggu lalu membuatkan dia begitu kecewa lebih-lebih lagi tidak dapat menamatkan aksi 90 minit.

Lebih mengecewakan dia gagal memberikan impak yang begitu positif pada penampilan pertamanya bersama TFC selain tidak berupaya menjaringkan gol.

"Saya sangat gembira kerana kami mendapat kemenangan pada aksi pertama berdepan Perak FC, apa yang paling penting adalah kami memulakan perlawanan dalam saingan liga dengan langkah kanan.

"Namun secara peribadi saya berasa terpencil di depan gawang gol kerana tidak mendapat bola selepas Perak bermain dengan tiga pertahanan tengah yang menyebabkan saya sukar untuk bergerak bebas.

"Namun rakan sepasukan bermain dengan baik, malah kami juga mengekalkan penguasaan bola dengan sebelum berjaya merakam kemenangan dalam perlawanan itu.

"Jadi menentang Penang FC pada malam esok, saya akan cuba sebaik mungkin untuk membantu pasukan memburu kemenangan dan secara peribadi juga mahu menjaringkan gol pertama sekali gus mampu meningkatkan lagi motivasi saya," katanya ketika dihubungi.

Ketika berdepan Perak FC, aksi longlai pemain berusia 30 tahun itu menyaksikan posisinya diganti dengan seorang lagi pemain import, Chuku Chijioke yang berjaya menjaringkan gol ketiga pasukannya dengan kemenangan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 11:34 AM