Muhamad Shaifullah Tayep

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengakhiri program utama literasi kewangan tahunannya, Minggu Saham Digital (MSD) pada 24 November lalu dengan mencatatkan lebih 1.5 juta tontonan dan lebih lima juta pembabitan di semua saluran media sosial rasmi MSD.

Program hibur didik selama seminggu yang bertemakan #laburbersama itu bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia daripada semua peringkat umur, melalui pelbagai aktiviti dalam talian.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata laman web rasmi MSD dikunjungi sebanyak satu juta kali dengan peraduan Jom... Kira Duit menerima penyertaan 307,000 dari lebih 9,000 peserta.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat, terutamanya peserta yang menjadikan MSD 2021 sebagai acara yang paling menyeronokkan.

"Semua program kami sepanjang minggu masih boleh terus ditonton di saluran Facebook dan YouTube MSD. Kami berharap para peserta telah berjaya menimba ilmu baharu daripada pengalaman mereka bersama kami, dan terus menyokong usaha celik kewangan kami," katanya.

Sebagai tanda penghargaan, PNB turut memberi peluang kepada orang ramai yang mengikuti program MSD untuk memenangi hadiah bernilai lebih daripada RM500,000 menerusi pelbagai peraduan yang diadakan sebelum dan semasa MSD berlangsung.

Antaranya, Peraduan Live Trivia dan Peraduan Cabutan Bertuah yang mana masing-masing merekodkan 4,592 dan 2,400 penyertaan.

Ahmad Zulqarnain turut merakamkan penghargaan kepada rakan korporat yang memainkan peranan penting dalam memastikan MSD 2021 terus menjadi salah satu acara literasi kewangan terbesar di Malaysia.

"Rakan Premier MSD ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad.

"Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, S P Setia Berhad, Malaysian Industrial Finance Berhad (MIDF) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua) adalah dalam kategori rakan utama; manakala MNRB Holdings Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) berada dalam kategori rakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 11:33 AM