Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ramanan Ramakrishnan, berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ramanan Ramakrishnan, berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Setiap agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) khususnya Bank Rakyat digesa mempertingkatkan perkhidmatan masing-masing.

Timbalan Menteri Kuskop, Datuk R Ramanan berkata, perkara itu khususnya membabitkan bidang digital yang disifatkan sebagai masa depan perbankan.

"Kita lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri amat berminat mengenai digitalisasi seperti kecerdasan buatan (AI).

"Kalau kita tak menyahut peluang untuk seiring dengan peredaran masa, kita akan ketinggalan disebabkan negara lain juga telah bergerak ke arah digital," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat di sini, tadi..

Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman.

Dalam pada itu, Ramanan semasa ucapannya berkata, komitmen berterusan Bank Rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif keusahawanan seperti Program Santai Namun Sampai, RAKYATpreneur, Bank Rakyat UNIpreneur dan inisiatif S.U.T.E.R.A yang menghubungkan usahawan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan telah memberikan impak besar.

Menurutnya, usaha ini sejajar dengan matlamat Kuskop menerusi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) dalam melahirkan usahawan berdaya saing dan kompetitif di pasaran domestik serta global.

"Ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang 2030, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi.

"Ini adalah kerana industri keusahawanan termasuk koperasi memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara, yang mana sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang kira-kira 38 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekitar 48 peratus sektor tenaga kerja negara," katanya.

Selain itu katanya, sektor koperasi adalah salah satu 'enjin pertumbuhan' yang menyumbang kepada KDNK negara.

Beliau berkata, menerusi lebih 16,000 koperasi di Malaysia, sumbangan

sektor ini telah diterjemahkan dalam peranan dan mandat bagi membantu membasmi kemiskinan, meningkatkan peluang pekerjaan, penghasilan produk dan

perkhidmatan selain merapatkan jurang ekonomi Keluarga Madani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 12:27 PM