Tan Sri Dr. Zeti Aziz, Pengerusi Kumpulan PNB. - FOTO PNB
Tan Sri Dr. Zeti Aziz, Pengerusi Kumpulan PNB. - FOTO PNB
Nurmastura Zulkafli

PENGANJURAN Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) adalah antara  program Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang sentiasa dinantikan masyarakat Malaysia.

Menerusi MSAM masyarakat Malaysia dapat mengenali PNB dan syarikat pelaburannya dengan lebih dekat dan memberi peluang kepada pemegang unit PNB mendapat gambaran bagaimana pelaburan mereka menyumbang kepada kekuatan ekonomi Malaysia. 

Bermula sebagai pameran yang bertujuan mendidik pemegang unit mengenai unit amanah, pelaburan serta konsep risiko dan pulangan dan juga pengurusan kewangan secara bersekemuka,  kini semuanya beralih secara dalam talian.

Memasuki tahun ke 20 penganjuran, PNB mengorak langkah baru dengan memperkenalkan Minggu Saham Digital  (MSD) yang dievolusikan daripada MSAM selaras dengan agenda transformasi digital negara. 

Masih mengekalkan matlamat mendidik rakyat Malaysia berkaitan pelaburan dan literasi kewangan, MSD komited melaksanakan objektif untuk mempromosikan PNB dan syarikat-syarikat pelaburannya, menerajui usaha digital dan memperluaskan jangkauan digital. 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, MSD adalah satu langkah penting ke arah perjalanan transformasi organisasi PNB yang lebih luas. 

"Dengan menganjurkan acara tahunan kami secara dalam talian, semua lapisan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur boleh menikmati pelbagai kandungan aktiviti menarik di kediaman mereka sendiri atau di mana sahaja mereka berada, kerana semuanya kini mudah diakses hanya di hujung jari," tambahnya.

Tawar hadiah bernilai lebih RM 500,000 

Julung kali penganjuran secara dalam talian, MSD merangka pelbagai program seperti siri forum, webinar pendidikan dan segmen hiburan dengan penampilan selebriti tempatan yang pastinya boleh dimanfaatkan pengunjung maya.

Lebih menarik, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah sehingga RM 500 ribu hanya dengan menyertai peraduan mudah apabila melayari atau menonton program anjuran MSD. 

Antara hadiah yang ditawarkan ialah termasuk sebuah Ford Ranger 2.0L XLT 4WD (10AT), sebuah Toyota Vios 1.5G (AT), sebuah Perodua Aruz 1.5AV (AT), sebuah Honda CBR250, 8 buah Honda Dash 125S dan e-baucar Lazada bernilai lebih RM180,000. 

Daftar dan sertai pencarian harta karun maya

Eh Mana Kod? ialah sebuah pencarian harta karun maya bagi menggalak pengguna berinteraksi secara aktif sepanjang program MSD.

Peraduan ini memerlukan pengunjung mengumpulkan sebilangan besar kod tersembunyi yang terdapat dalam semua video yang disiarkan di saluran media sosial MSD dan juga di laman web MSD dan akan berlangsung sehingga jam 11.59 malam pada 30 November 2020.

Pengunjung hanya perlu mendaftarkan diri di laman sesawang MSD dan mulakan pencarian kod.

Pemenang akan diumumkan dalam tempoh acara MSD 2020 berlangsung, antara 18 hingga 23 November 2020 melalui laman Facebook MSD.

MSD bakal bersiaran langsung bermula 18 hingga 24 November 2020 di antara jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam melalui Facebook dan YouTube Minggu Saham Digital. 

Rakyat Malaysia dijemput untuk turut sama dengan MSD menerusi platform digital yang tersedia dan mudah dilayari dengan menggunakan tanda pagar #Laburbersama.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MSD, layari www.minggusahamdigital.com.my atau ikuti Minggu Saham Digital di Instagram dan Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 4:14 PM