FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Abnor Hamizam Abd Manap

'

Jempol: Ditawarkan kerja kosong namun pada masa sama meminta mangsa membayar sejumlah bayaran atas alasan komisen.

Taktik penipuan itu menyebabkan seorang suri rumah berusia 33 menjadi mangsa penipuan sehingga mengalami kerugian RM15,850.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa melihat iklan berhubung tawaran kerja daripada ibu saudaranya April lalu.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon menerusi aplikasi WhatsApp sebelum mangsa diterangkan mengenai kerja membuat ulasan berkaitan hotel ditawarkan seorang lelaki.

"Bagi mendapatkan komisen berdasarkan jumlah wang dilaburkan, mangsa kemudian membuat sebanyak 14 kali transaksi pemindahan wang.

"Mangsa kemudian diminta membuat bayaran lain bagi membolehkan menerima komisennya namun selepas empat kali bayaran dibuat, mangsa masih tidak menerima komisen berkenaan," katanya.

Hoo berkata, mangsa kemudian dimaklumkan perlu membayar RM23,785 sekiranya mahu mendapatkan modal yang sudah dilaburkan selain komisen.

Katanya, mangsa tidak membuat pembayaran itu selepas menyedari ia ditipu.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bahau pada jam 3.42 petang kelmarin. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam satu lagi kejadian berasingan ,seorang kontraktor mengalami kerugian RM6,450 selepas menjadi mangsa pinjaman tidak wujud.

Hoo berkata, mangsa pada 3 Mei lalu melihat iklan pinjaman wang sebuah syarikat di Facebook sebelum berurusan dengan seorang lelaki.

Katanya, mangsa mahu membuat pinjaman sebanyak RM30,000 namun disebabkan tidak mempunyai rekod pinjaman dengan syarikat itu, mangsa perlu membuat pinjaman percubaan berjumlah RM1,500.

"Mangsa pada 16 Mei lalu memasukkan secara dalam talian sejumlah RM6,450 bagi urusan memproses pinjaman dan setem sebelum dimaklumkan pinjaman akan dimasukkan kelmarin (17 Mei).

"Bagaimanapun sekitar jam 2 petang kelmarin, mangsa menerima pesanan mesej supaya memasukkan RM5,500 bagi urusan memasukkan wang pinjaman RM30,000," katanya.

Hoo berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol di sini, selepas menyedari ditipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 12:19 PM