ARIFIN (kiri) dan Ahmad melancarkan ASN Equity Global.
ARIFIN (kiri) dan Ahmad melancarkan ASN Equity Global.

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) secara rasminya memperkenalkan dana unit amanah harga berubah terbaharu, ASN Equity Global.

Fokus utama dana terbaharu ini bagi membuka peluang rakyat Malaysia untuk memperluaskan pelaburan mereka dalam pasaran antarabangsa.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, setakat 15 November lalu, pihaknya menerima langganan lebih 740 juta sejak mula ditawarkan 1 September lalu.

"ASN Equity Global adalah antara inisiatif ASNB bagi memperkenalkan konsep pelaburan kontemporari yang menepati cita rasa pelabur yang ingin mendapatkan pulangan menerusi pasaran ekuiti global.

"Pelaburan dalam dana ini juga sesuai bagi pelabur yang mempunyai tahap risiko tinggi dan menginginkan pulangan lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

"Pelabur boleh memantau prestasi pelaburan mereka dengan mudah di portal dan aplikasi myASNB serta perbankan internet dengan caj jualan lebih rendah," katanya pada majlis pelancaran dana terbaharu ASNB disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria pada pelancaran Minggu Saham Digital 2021 (MSD 2021), secara maya, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berucap pada majlis pelancaran itu.

Sementara itu, Tun Arifin berkata, sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai mendorong PNB untuk meneruskan MSD pada tahun ini.

"MSD 2021 kekal sebagai satu platform interaktif bagi rakyat Malaysia mendalami ilmu kewangan dan mengenali PNB serta syarikat pelaburan dengan lebih dekat.

"Bahkan, MSD 2021 turut memberi peluang kepada pelabur dan seluruh masyarakat bagi memahami bagaimana pelaburan mereka dalam unit amanah ASNB dapat menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara," katanya.

Bermula 17 November, MSD 2021 bersiaran setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga 10.00 malam.

MSD 2021 akan berlangsung selama tujuh hari sehingga 23 November 2021, melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD.

Rakyat Malaysia berpeluang mengikuti dan mengambil bahagian dalam lebih 70 program hibur-didik yang disertai oleh pakar dan peneraju dalam bidang dan industri masing-masing, di samping personaliti dan selebriti terkenal.

Mereka juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang keseluruhannya bernilai RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 6:10 AM