ASAP tebal di di utara Israel susulan letupan akibat roket yang dilancarkan dari Lubnan. FOTO Reuters
ASAP tebal di di utara Israel susulan letupan akibat roket yang dilancarkan dari Lubnan. FOTO Reuters
AFP

Beirut: Kumpulan Hizbullah Lubnan, minggu ini, menyerang pos tentera di utara Israel menggunakan dron yang melepaskan peluru berpandu.

Perkembangan ini menyaksikan kumpulan itu menyerang Israel dengan menggunakan senjata baharu yang lebih canggih.

"Ini adalah kaedah menghantar mesej di darat kepada musuh Israel, bermakna ini adalah sebahagian daripada apa yang kita ada, dan jika perlu kita boleh menyerang lebih banyak lagi," kata penganalisis politik Lubnan, Faisal Abdul-Sater yang mengikuti rapat perkembangan pergerakan Hizbullah.

Menurut tentera Israel, serangan itu mencederakan tiga askar, seorang daripada mereka, parah.

Ketika ini, Hizbullah kerap melancarkan peluru berpandu merentasi sempadan dengan Israel sejak tujuh bulan lalu, tetapi serangan pada Khamis lalu adalah serangan udara peluru berpandu pertama yang berjaya dilancarkan dari dalam ruang udara Israel.

Kumpulan itu turut meningkatkan serangan ke atas Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutamanya sejak pencerobohan Israel ke Rafah.

Walaupun berbalas tembakan merentas sempadan berlangsung sejak awal Oktober, serangan kompleks oleh Hizbullah hanya bermula beberapa hari selepas serangan dron dan peluru berpandu oleh Iran yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel pada pertengahan April lalu.

Untuk rekod, serangan pada petang Khamis oleh dron yang membawa peluru berpandu berlaku hanya beberapa hari selepas Hizbullah melancarkan tiga peluru berpandu antikereta kebal ke pos tentera Israel.

Hizbullah turut mengeluarkan rakaman kamera selepas serangan untuk menunjukkan bahawa misi mereka mencapai sasaran.

Malam sebelumnya, Hizbullah melakukan serangan paling jauh di dalam Israel, setakat ini, dengan menggunakan dron letupan untuk menyerang pangkalan di Ilaniya berhampiran bandar Tiberias, kira-kira 35 kilometer dari sempadan Lubnan. Tentera Israel berkata, serangan itu tidak mencederakan sesiapa.

Penggunaan senjata yang lebih canggih oleh Hizbullah, termasuk peluru berpandu termasuk buatan Iran iaitu Burkan dan Almas, di samping misil Jihad Mughniyeh.

Dalam menyesuaikan serangannya, Hizbullah juga berjaya mengurangkan jumlah pejuang yang terkorban berbanding minggu-minggu awal konflik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 12:17 PM