Ahmad Zulqarnain pada majlis penutup MSD 2021 yang berlangsung dari 17 hingga 23 November. - FOTO Ehsan PNB
Ahmad Zulqarnain pada majlis penutup MSD 2021 yang berlangsung dari 17 hingga 23 November. - FOTO Ehsan PNB
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Minggu Saham Digital (MSD) 2021 anjuran Permodalan Nasional Bhd (PNB) melabuhkan tirainya malam tadi dengan mencatat lebih 1.5 juta tontonan selama tujuh hari penganjurannya.

Program literasi utama yang bermula sejak 17 November itu turut meraih lebih lima juta pembabitan orang ramai di semua saluran media sosial rasmi MSD.

Program hibur didik selama seminggu yang bertemakan #laburbersama itu bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur, melalui pelbagai aktiviti dalam talian.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, laman web rasmi MSD telah dikunjungi sebanyak satu juta kali dengan peraduan Jom... Kira Duit menerima penyertaan 307,000 dari lebih 9,000 peserta.

"Sebagai tanda penghargaan, PNB memberi peluang kepada orang ramai yang mengikuti program MSD untuk memenangi hadiah bernilai lebih daripada RM500,000 menerusi pelbagai peraduan yang diadakan sebelum dan semasa MSD berlangsung.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat, terutamanya peserta yang menjadikan MSD 2021 sebagai acara yang paling menyeronokkan.

"Semua program kami sepanjang minggu masih boleh terus ditonton di saluran Facebook dan YouTube MSD. Kami berharap peserta telah berjaya menimba ilmu baharu daripada pengalaman mereka bersama kami, dan terus menyokong usaha celik kewangan kami," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zulqarnain turut merakamkan penghargaan kepada Rakan Korporat yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan MSD 2021 terus menjadi salah satu acara literasi kewangan terbesar di Malaysia.

Rakan Premier MSD ialah Malayan Banking Bhd (Maybank), Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd, Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd, S P Setia Bhd, MIDF Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) adalah dalam kategori Rakan Utama.

Manakala MNRB Holdings Bhd (MNRB), Duopharma Biotech Bhd, Velesto Energy Bhd dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd adalah dalam kategori Rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 1:27 PM