Dr Ruzaimi Md Yusoff (kiri) dan Prof Winnie Chee Siew Swee. FOTO BERNAMA
Dr Ruzaimi Md Yusoff (kiri) dan Prof Winnie Chee Siew Swee. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Istilah osteoporosis bermakna 'tulang poros' atau kelampungan tulang yang boleh juga dijelaskan sebagai satu keadaan kehilangan kepadatan tulang, mengakibatkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah.

Penyakit ini sering kali dikaitkan dengan golongan meningkat usia atau warga emas dengan kebanyakannya adalah wanita, namun kanak-kanak juga sebenarnya berisiko tinggi berhadapan masalah ini.

Menurut Konsultan Pakar Ortopedik MSU Medical Centre Dr Ruzaimi Md Yusoff, antara faktor yang menyebabkan masalah osteoporosis dalam kalangan wanita ialah penurunan hormon estrogen selepas menopaus, sekali gus mengakibatkan kepadatan tulang turut menyusut dengan cepat.

"Selain itu, faktor kurang aktif, saiz tubuh yang biasanya lebih kecil berbanding kaum lelaki serta faktor pemakanan terutama diet yang terlalu ketat dalam kalangan kaum wanita, turut menyumbang kepada masalah ini.

"Kebanyakan wanita juga kurang melakukan aktiviti di luar rumah menyebabkan mereka kurang terdedah kepada cahaya matahari, sekali gus mengurangkan paras vitamin D dalam tubuh. Ini seterusnya boleh mengurangkan penyerapan kalsium," katanya.

Osteoporosis kebiasaannya tidak mempunyai sebarang tanda khusus. Segelintir penghidapnya mungkin mengalami sakit atau sengal terutama pada bahagian belakang atau pinggang.

Namun begitu, penyakit ini sering kali dikesan setelah penghidapnya mengalami komplikasi patah tulang.

Di seluruh dunia, satu daripada tiga (1:3) perempuan dan satu daripada lima (1:5) lelaki berumur melebihi 50 tahun akan mengalami patah tulang akibat kerapuhan kerana masalah osteoporosis.

Kajian mendapati kira-kira 8.9 juta penduduk dunia mengalami kepatahan tulang akibat osteoporosis setiap tahun.

Mengulas lanjut, Dr Ruzaimi berkata osteoporosis dalam kalangan kanak-kanak terbahagi kepada dua kategori, iaitu idiopathic juvenile yang melibatkan peringkat umur bawah 16 tahun dan tidak mempunyai faktor penyebab atau sebarang penyakit lain, sementara kategori kedua pula disebabkan oleh penyakit yang dihidapi ataupun akibat pengambilan ubat-ubatan tertentu.

"Antara penyakit dalam kalangan kanak-kanak yang boleh menyebabkan osteoporosis ialah keradangan kronik seperti penyakit keradangan sendi (artritis) atau penyakit radang usus jangka panjang yang juga dikenali sebagai penyakit Crohn serta anoreksia nervosa iaitu penyakit berkaitan masalah pemakanan.

"Selain itu, rawatan ubat-ubatan steroid untuk jangka masa panjang, penyakit osteogenesis imperfecta (OI) yang merupakan penyakit genetik yang memberi kesan pada kolagen, iaitu satu unsur penting pada tulang, serta keadaan yang mengakibatkan kanak-kanak terlantar di katil seperti kecederaan saraf tunjang atau cerebral palsy (palsi serebrum) turut menyumbang kepada osteoporosis," katanya.

Dalam keadaan biasa, terdapat dua proses yang berlaku pada tulang iaitu resorpsi tulang (proses pelepasan sel tulang yang diserap ke dalam darah) dan pembentukan sel tulang baharu bagi menggantikan sel yang "hilang" itu.

Dr Ruzaimi berkata osteoporosis berlaku apabila kadar resorpsi tulang lebih tinggi berbanding kadar pembentukan sel baharu.

"Keadaan ini boleh berlaku pada semua tulang dalam tubuh namun kebiasaannya melibatkan bahagian sendi pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang.

"Tahap osteoporosis boleh diukur melalui ujian kepadatan tulang, antaranya menggunakan kaedah dual-energy X-ray absorptiometry (DEXA Scan) bagi mendapatkan nilai ketumpatan mineral tulang (BMD).

"Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), BMD normal bagi belia dewasa ialah melebihi nilai 1SD (standard deviation) atau 'T-score >1SD'. Seseorang dikategorikan menghidap osteopenia atau kepadatan tulang yang rendah jika nilai BMD mereka antara 'T-score ≤-1.0SD dan >-2.5SD, manakala bagi penghidap osteoporosis pula nilai BMD mereka ialah 'T-score ≤-2.5SD'," jelasnya.

Dr Ruzaimi yang berpandangan masalah osteoporosis di Malaysia masih kurang diberi perhatian, berkata ramai tidak menyedari mereka mengalami penyakit itu, sekali gus gagal tampil untuk mendapatkan rawatan.

"Disebabkan itu juga tidak banyak data lengkap mengenai prevalens osteoporosis di Malaysia diperoleh. Dianggarkan kira-kira 77 peratus wanita Malaysia yang sudah putus haid mengalami osteoporosis tetapi tidak mendapatkan sebarang rawatan.

"Ini mungkin disebabkan tahap kesedaran akan penyakit itu dan komplikasi yang berkaitan dengannya masih lagi rendah dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan mereka hanya datang mendapatkan rawatan setelah mengalami komplikasi patah tulang," katanya.

Sementara itu, Pakar Nutrisi & Dietetik di Pusat Transformasi Nutrisi & Kesihatan, International Medical University (IMU) Prof Winnie Chee Siew Swee berkata kesedaran untuk membina tulang yang kuat perlu dipupuk pada awal usia kerana osteoporosis adalah penyakit 'orang muda' yang kesannya hanya dapat dilihat apabila umur semakin meningkat.

"Sewaktu kecil, badan dan tulang mengalami pertumbuhan dan perkembangan dengan pantas. Inilah sebenarnya masa terbaik untuk membina dan mencapai paras tertinggi jisim tulang bagi menghalang berlakunya osteoporosis apabila usia meningkat.

"Kajian menunjukkan bahawa dengan meningkatkan paras jisim tulang sebanyak 10 peratus ketika usia muda mampu mengurangkan risiko mengalami keretakan tulang yang disebabkan oleh osteoporosis.

"Kesihatan tulang yang baik bukan sahaja akan memanfaatkan seseorang individu, sebaliknya sebagai sebuah negara yang mempunyai populasi yang semakin berusia atau istilah lainnya negara menua, pengurangan insiden keretakan tulang akibat osteoporosis juga akan memberi impak yang besar kepada sistem kesihatan," jelasnya.

Berkongsi hasil kajian beliau bertajuk 'Factors Associated With Bone Health Status of Malaysian Pre-adolescent Children in the PREBONEkids Study' yang dijalankan bersama sekumpulan penyelidik pada 2017, bertujuan mengkaji status kesihatan tulang 243 kanak-kanak pra-remaja berusia sembilan hingga 11 tahun, hampir 33 peratus daripada responden mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes.

Kanak-kanak, baik lelaki mahupun perempuan, perlu kekal aktif untuk membina otot dan jisim badan tanpa lemak yang merupakan penyumbang kepada kandungan mineral dan ketumpatan bagi tulang seluruh tubuh dan bahagian lumbar pada tulang belakang.

"Jisim badan tanpa lemak memberi daya tegangan yang lebih tinggi pada tulang dan ini akan merangsang sel-sel tulang. Dalam kajian lain yang dijalankan di India dan Iran serta ke atas kanak-kanak Kaukasia, turut didapati mereka yang mempunyai jisim badan tanpa lemak menunjukkan ketumpatan tulang yang lebih baik.

"Di Malaysia, perkara ini perlu diberi perhatian kerana kita sedang bergelut dengan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan kita di tangga kedua tertinggi di ASEAN dengan 12.7 peratus bagi kelompok umur lima hingga 19 tahun (mengalami obesiti)," jelasnya yang turut menekankan gaya hidup seperti aktif bersukan atau melakukan aktiviti fizikal dapat menyumbang kepada kesihatan tulang kanak-kanak.

Kajian yang dijalankan pada 2017 itu turut menemukan masalah pengambilan kalsium yang rendah dalam kalangan kanak-kanak, kerana secara purata responden hanya mendapat 25 peratus daripada 1,300 mg kalsium yang disarankan bagi mencapai kadar pertumbuhan yang mencukupi dan kesihatan tulang.

Beliau berkata pengambilan kalsium yang rendah dalam kalangan kanak-kanak menjejaskan ketumpatan mineral tulang dan turut memberikan kesan negatif kepada pertumbuhan dan ketinggian.

Antara makanan kaya kalsium ialah susu tepung skim (tanpa lemak), keju rendah lemak, yogurt, ikan bilis, sardin dalam tin, kacang dal masak, tauhu, tempe, selada air (sai-yong choy), kailan dan sawi.

"Pada masa sama, pengambilan kalsium perlu seiring dengan vitamin D yang mencukupi. Vitamin D memudahkan penyerapan kalsium dan memainkan peranan penting dalam homeostasis kalsium dan perkembangan tulang rangka. Antara sumber makanan yang kaya dengan vitamin D ialah salmon, mackerel, sardin, hati lembu, telur, susu yang diperkuat dan yogurt serta keju cheddar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 2:52 PM