Dr Sureisen Mariapan. FOTO Asyraf Hamzah
Dr Sureisen Mariapan. FOTO Asyraf Hamzah
Rosyahaida Abdullah

MEMASUKI fasa usia 40 tahun dan ke atas, kadar ketumpatan tulang khususnya tulang belakang mula mengalami penyusutan sedikit demi sedikit.

Keadaan ini membawa kepada pelbagai risiko yang agak membimbangkan misalnya keretakan pada tulang berkenaan.

Apa lagi jika individu itu berpotensi menghidap osteoporosis atau turut dikenali sebagai tulang rapuh susulan faktor tidak boleh ubah seperti kumpulan etnik, saiz badan dan sebagainya.

Keretakan mudah berlaku apabila semakin berusia.

Disertai faktor struktur tulang lemah, penyakit osteoporosis berupaya menyebabkan keretakan tulang yang lazimnya terjadi pada bahagian tulang belakang, pergelangan tangan dan pinggul.

Pakar Bedah Tulang (Tulang Belakang) Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Sureisen Mariapan berkata, ada dua faktor kadar ketumpatan tulang menurun dan struktur tulang menjadi lemah.

Dibahagikan kepada primary dan secondary, jelas beliau, ia terdiri daripada faktor boleh ubah serta tidak boleh ubah.

"Terdapat tiga jenis faktor primary osteoporosis iaitu pasca-menopaus, umur dan idiopatic atau faktor yang tidak diketahui.

"Secondary osteoporosis pula kebiasaannya mempunyai faktor seperti masalah hormon, pengambilan ubat seperti steroid, kegagalan buah pinggang dan sebagainya.

"Bagi jenis secondary ini, osteoporosis boleh berlaku pada usia muda, antara faktor lain termasuk penyakit kanser darah, kanak-kanak yang mempunyai masalah penyerapan nutrisi makanan dan seumpamanya," katanya kepada Sihat.

Mengulas lanjut mengenai primary osteoporosis, jelas Dr Sureisen, golongan wanita pada umur antara 40 hingga 50 tahun kebiasaannya akan melalui fasa menopaus.

Hormon pertumbuhan dan hormon seks mengawal jumlah mendapan bahan mineral dalam tulang. Disebabkan itu kata beliau, kehilangan hormon estrogen (disebabkan menopaus) yang penting dalam pembentukan tulang menjadikan tulang menipis daripada membina.

"Ketumpatan tulang akan terus bertambah sehinggalah pada usia sekitar 30-an, kemudian baik lelaki mahupun wanita, ketumpatan tulang tidak akan lagi meningkat sebaliknya kekal pada kadar sedia ada.

"Menjelang usia sekitar 40 hingga 50-an, wanita khususnya akan melalui kehilangan ketumpatan tulang kira-kira satu hingga dua peratus setiap tahun sewaktu fasa putus haid.

Dr Sureisen menjelaskan, ada beberapa kaedah untuk mengurangkan risiko mendapat masalah osteoporosis khususnya bagi faktor boleh ubah.

Antaranya kata beliau adalah dengan melakukan senaman, tak merokok, tidak mengambil minuman beralkohol dan memperbanyak makanan serta minuman yang tinggi kalsium dan vitamin D.

"Untuk faktor tidak boleh ubah seperti genetik khususnya kumpulan etnik, jantina iaitu perempuan dan saiz badan yang kecil, risiko ini tidak dapat dielakkan.

"Untuk mengurangkan risiko patah tulang, kita sarankan pesakit berumur 65 tahun dan ke atas menjalani ujian kadar ketumpatan tulang untuk mengesan masalah ini lebih awal," katanya.

Menurut Dr Sureisen, berdasarkan pengalaman beliau, keretakan tulang belakang khususnya, lazimnya berlaku pada tulang toraks dan lumbar. Terdapat dua kaedah yang digunakan untuk merawat masalah terbabit.

Memasukkan jarum ke dalam tulang sebelum simen disuntik melalui corong jarum terbabit, kedua-dua kaedah bagaimanapun bergantung kepada tahap keseriusan keadaan keretakan pada tulang pesakit.

"Vertebroplasti adalah kaedah yang terbaharu dalam rawatan patah tulang belakang. Saya kira kaedah ini cukup mudah, memakan masa kira-kira 45 minit saja.

"Kita akan kebaskan bahagian yang akan disuntik dengan jarum sebelum memasukkan simen melalui jarum itu. Kaedah ini hanya disyorkan mengikut keadaan pesakit dan selang waktu kecederaan.

"Bagi prosedur vertebroplasti ini, ada pesakit yang sebaik saja selesai dimasukkan simen ke dalam tulangnya, esoknya dia mampu duduk dengan selesa di atas kerusi roda, hari seterusnya dia sudah boleh pulang ke rumah," katanya.

Bagi kaedah kyphoplasti pula kata Dr Sureisen, prosedur ini digunakan untuk kes keretakan tulang yang lebih teruk.

Mengambil contoh tulang yang sudah sakit sejak sebulan, beliau berkata, kaedah kyphoplasty kebiasaannya masih sesuai untuk menyelesaikan kesakitan yang dialami.

"Kaedah kyphoplasti lebih kompleks dan prosedurnya juga lebih lama kerana kita perlu gunakan alat khas untuk menaikkan rongga dalam tulang sebelum dimasukkan simen.

"Ada juga kes skru beserta simen perlu dipasang untuk menjadikan keretakan tulang itu lebih kukuh. Kaedah 'hibrid' ini digunakan jika pesakit mengalami keretakan teruk berserta keruntuhan tulang menyebabkan kesakitan saraf.

"Bagi kedua-dua kaedah ini, pesakit kemudian perlu mengambil ubat secara konsisten selama dua tahun yang risiko sekurang-kurangnya untuk mendapat keretakan lagi selepas itu adalah rendah," katanya.

Mengakhiri perkongsian, beliau berharap individu yang mempunyai risiko seperti dinyatakan mengamalkan pengambilan kalsium dan Vitamin D lebih awal selain mengamalkan gaya hidup sihat sebelum usia menjengah fasa menopaus atau 40 tahun dan ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 6:31 AM