MEGAWATI dan Indra bersama dua cef.
MEGAWATI dan Indra bersama dua cef.
Faizatul Farlin Farush Khan


Kajian menunjukkan separuh daripada ketumpatan tulang terbentuk ketika akil baligh, namun masih ramai kurang peka mengenai peranan susu dalam pembentukan tulang yang sihat seawal usia kanak-kanak.

Selain itu, peningkatan jisim tulang kira-kira 10 peratus pada usia kanak-kanak juga dapat mengurangkan risiko osteoporosis menurun sehingga 50 peratus ketika kanak-kanak itu meningkat ke usia lebih matang.

Osteoporosis ialah penyakit kronik yang boleh menyebabkan tubuh menjadi lemah apabila ketumpatan tulang berkurangan.

Tulang menjadi poros dan rapuh seterusnya rangka menjadi lemah hingga risiko keretakan tulang meningkat secara berganda.

Lebih menakutkan, kehilangan ketumpatan tulang berlaku secara senyap tetapi progresif, lazimnya tanpa sebarang simptom hingga kejadian tulang patah buat pertama kali berlaku.

Kebiasaannya kawasan tulang yang terjejas teruk dan mudah patah akibat osteoporosis adalah pada bahagian pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan.

Biarpun faktor genetik memainkan peranan dalam menentukan saiz dan kepadatan tulang, faktor lain seperti gaya hidup termasuk pengambilan nutrisi secukupnya, senaman konsisten dan mengelak tabiat buruk seperti merokok dan pengambilan alkohol berlebihan mampu melindungi kesihatan tulang.

Antara cara mendapatkan kandungan kalsium cukup bagi menjaga kepadatan tulang adalah melalui pemakanan yang kaya dengan nutrien penting ini antaranya sayuran hijau, kekacang dan makanan yang ditambah dengan kalsium.

Menurut Pengarah Pembangunan Produk Baru Saintifik dan Hal Ehwal Kawal Selia Fonterra Brands Malaysia, Megawati Suzari, kekuatan tulang disokong oleh simpanan kalsium tubuh dan amat penting untuk memastikan pengambilan kalsium mencukupi bermula usia kanak-kanak dan secara berterusan biarpun sudah dewasa.

Katanya, pengambilan susu perlu dijadikan amalan berterusan memandangkan tulang kita memerlukan tahap kalsium berbeza mengikut peringkat usia berlainan.

“Biarpun kita tidak dapat menghalang tulang daripada kehilangan ketumpatannya seiring usia, simpanan kalsium yang cukup sejak usia kanak-kanak akan dapat membantu memastikan kita mempunyai kadar kalsium mencukupi untuk mengekalkan ketumpatannya sekali gus mengurangkan risiko osteoporosis ketika kita meningkat tua.

“Malangnya, ramai di negara ini tidak mendapatkan kadar kalsium cukup untuk kesihatan tulang yang optimum,” katanya pada bengkel nutrisi anjuran Fonterra Brands Malaysia baru-baru ini, sempena Hari Osteoporosis bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membina ketumpatan tulang yang kukuh.

Menurut Kajian Nutrisi Dewasa Malaysia (Mans) 2014, rakyat di negara ini mengambil kalsium kurang daripada kadar mencukupi untuk kesihatan tulang yang optimum dalam diet harian mereka.

Megawati berkata, langkah penting perlu diambil oleh semua terutama pada usia kanak-kanak bagi memastikan kesihatan tulang mereka terus kekal sihat dan mampu bergerak cergas, biarpun sudah memasuki usia emas.

Katanya, produk tenusu adalah sumber kalsium yang terbaik dan memiliki kepekatan lebih tinggi dalam setiap hidangan berbanding makanan jenis lain.

“Anda perlu makan hampir tiga cawan brokoli untuk mendapatkan jumlah kalsium yang sama dengan satu cawan susu.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan tahap kalsium yang dicadangkan daripada pelbagai jenis produk termasuk susu segar, susu diperkuat dengan kalsium tambahan dan yogurt, selain pelbagai pilihan produk tenusu,” katanya.

Anak pilih sendiri

Sementara itu menurut perunding diet Indra Balaratnam, ibu adalah individu penting dalam keluarga dan perlu memainkan peranannya menggalakkan anak-anak untuk mengambil susu dan makanan kaya dengan kalsium.

Katanya, ibu tidak seharusnya marah atau memaksa, sebaliknya menjadikan amalan minum susu dan makan makanan kaya kalsium sebagai satu tabiat dalam keluarga dengan pelbagai resipi kreatif.

“Bagi menjadikan pengambilan kalsium secukupnya sebagai satu tabiat baik, ibu perlu mengajak anak membuat senarai beli barang dan masukkan senarai makanan yang baik untuk kesihatan.

“Selain itu, ketika membeli-belah ajak sekali anak memilih barang. Misalnya produk tenusu, biarkan dia memilih apa yang disukainya kerana biasanya dia akan minum atau makan kerana sudah memilihnya.

“Begitu juga ketika penyediaan makanan, ajak anak membantu misalnya membancuh sesuatu supaya dia belajar mengenai proses menyiapkan hidangan dan lebih menghargai makanan,” katanya.

Menurut Indra, ada yang bimbang sekiranya pengambilan susu menyebabkan masalah kegemukan namun hakikatnya ia makanan lengkap yang mampu membantu menurunkan berat badan.

Pada masa sama, Indra menasihatkan ibu memantau pengambilan makanan atau minuman yang mampu menyingkirkan kalsium dari badan misalnya minuman soda berkarbonat ataupun pengambilan produk berkafein.

Katanya, anak-anak perlu diajar sejak kecil untuk mengamalkan pemakanan sihat selain hidangan kaya kalsium sejak kecil supaya mereka dapat mengekalkan amalan itu sepanjang hayat mereka.

“Pelbagai jenis makanan boleh diambil untuk mencukupkan pengambilan kalsium setiap hari misalnya segelas susu, satu keping keju, satu cawan yogurt dan sayuran berdaun hijau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 5:52 AM