DR Paisal (tengah) menjelaskan bahawa osteoporosis adalah salah satu kebimbangan kesihatan yang boleh menjejaskan ramai orang secara senyap.
DR Paisal (tengah) menjelaskan bahawa osteoporosis adalah salah satu kebimbangan kesihatan yang boleh menjejaskan ramai orang secara senyap.
Muhamaaad Razis Ismail


ANLENE mendedahkan bahawa 50 peratus orang dewasa Malaysia mungkin berisiko untuk mengalami tulang lemah.

Penemuan itu diperoleh melalui saringan Anlene Mobility Check membabitkan imbasan ultrabunyi tulang dan ujian kekuatan otot yang dilakukan terhadap 20,000 rakyat Malaysia bermula pada Mei tahun lalu sehingga kini.

Ini mungkin berpotensi membawa kepada penyakit tulang seperti osteoporosis yang berisiko menjejaskan pergerakan seseorang.

Saringan ini turut mendedahkan bahawa seorang daripada tiga dewasa di Malaysia mempunyai kekuatan otot yang lemah.

Saringan percuma ini dijalankan melalui beberapa siri jerayawara bermula pada Mei tahun lalu dan dibuka kepada orang dewasa berumur 19 tahun ke atas untuk menilai kekuatan tulang dan otot.

Pengurus Besar Fonterra Brands Malaysia & Singapura, Ganesh Thiagarajan berkata, hasil daripada saringan mobiliti mendedahkan trend yang membimbangkan iaitu kesedaran rendah dalam kalangan warga Malaysia mengenai kesihatan tulang.

Katanya, ini sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk menangani masalah dan risiko berkaitan dengan mobiliti di negara kita.

"Di Anlene, kami percaya bahawa langkah pencegahan terhadap osteoporosis boleh mengurangkan kelazimannya dalam populasi rakyat Malaysia dengan ketara.

"Matlamat kami adalah untuk memperkasakan individu supaya menjaga kecergasan dan kesihatan tulang, sendi serta otot mereka secara proaktif supaya ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan membantu mereka kekal aktif selama yang boleh," katanya.

Sementara itu, Pakar Bedah Ortopedik di Columbia Asia Hospital Puchong, Dr Paisal Hussin menjelaskan bahawa osteoporosis adalah salah satu kebimbangan kesihatan yang boleh menjejaskan ramai orang secara senyap.

"Kelaziman osteoporosis diunjurkan lebih tinggi di Asia berikutan populasinya yang semakin tua dan Malaysia tidak terkecuali. Lebih membimbangkan, Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan tertinggi dalam jumlah patah tulang pinggul menjelang 2050.

"Lonjakan ini adalah akibat langsung daripada osteoporosis, keadaan dicirikan oleh tulang lemah yang lebih terdedah kepada patah tulang, terutama di kawasan pinggul," katanya

Tambahnya, untuk mengekalkan tulang yang kuat dan sihat, badan kita secara semula jadi menjalani proses berterusan dipanggil pembentukan semula tulang, di mana tulang lama digantikan dengan tisu tulang baru.

"Proses ini berlaku sepanjang hayat kita. Bagaimanapun, apabila usia meningkat, ia boleh menjadi kurang cekap dan kemerosotan tulang mungkin bermula seawal usia 30-an.

"Wanita yang dalam tempoh peralihan menopaus mungkin mengalami kehilangan tulang yang cepat, berpotensi kehilangan sehingga 20 peratus ketumpatan tulang mereka.

"Mujur penyakit berkaitan tulang seperti osteoporosis boleh dicegah. Oleh itu, penjagaan kesihatan tulang anda dari usia muda adalah penting. Dengan mengambil langkah proaktif untuk menguatkan tulang kita hari ini, kita boleh menjamin masa depan lebih sihat dan berdaya tahan," katanya.

Penolong Pengurus Pemakanan di Fonterra Brands Malaysia, Liew Yen Lee pula berkata, gaya hidup sihat dengan kerap bersenam dan mengamalkan diet yang seimbang dapat menjaga tulang, sendi dan otot.

"Mengamalkan senaman yang kerap bukan sahaja menggalakkan tulang yang kuat, tetapi juga menguatkan otot yang menyokongnya. Gabungan aktiviti ini dengan diet seimbang yang kaya dengan kalsium, vitamin D, protein, adalah penting. Anlene diformulasi untuk menyokong kekuatan tulang bersama dengan diet seimbang dan gaya hidup yang aktif," katanya.

Satu kajian mencadangkan bahawa pengambilan harian dua gelas susu yang diperkaya dengan nutrien penting seperti kalsium, Vitamin D, magnesium dan zink, boleh membantu dalam mengurangkan kemerosotan tulang dalam tempoh empat minggu.

Satu lagi kajian menunjukkan bahawa pengambilan MFGM dalam diet seseorang berserta senaman yang kerap, boleh meningkatkan kekuatan otot selepas empat minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 6:45 AM