Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Berdindingkan kayu gelam serta beratapkan zink terbuang, seorang pemuda membina bangsal menggunting rambut bagi mencari rezeki untuk menyara keluarga di Kampung Tok Pelanduk, Batu Karang, di sini.

Ahmad Zainun Sulaiman, 45, mengambil inisiatif membuat sendiri bangsal berkenaan lima tahun lalu, dengan hasil hutan memandangkan dia tidak mempunyai modal untuk mengupah atau membina kedai gunting yang lebih sempurna.

Dia yang berpengalaman sebagai pengunting rambut sejak 10 tahun lalu, mengakui kerja itu menjadi punca rezeki untuk dia dan isteri, Faridah Ramli, 43, membesarkan tiga anak berusia tujuh sehingga 20 tahun.

"Sejak terbinanya bangsal yang tidak seberapa ini memudahkan saya untuk menerima pelanggan kerana sebelum ini saya hanya menggunting rambut di tepi rumah tanpa ada tempat khusus untuk melakukan kerja berkenaan.

"Alhamdulillah, saya sudah ada tempat yang sesuai untuk mencari wang hasil titik peluh sendiri. Malah pelanggan juga lebih selesa untuk menggunakan khidmat gunting rambut selain ramai yang memuji bangsal ini yang dilihat ringkas dan kemas.

"Saya hanya mengambil upah menggunting sebanyak RM4 sehingga RM6 untuk seorang bergantung kepada jenis gaya rambut selain memperoleh pelanggan lima sehingga lapan orang sehari," katanya yang juga bekerja sebagai penoreh getah untuk mencari wang sampingan.

AHMAD Zainun dan isteri, Faridah (dua dari kiri) bersama dua anak mereka di hadapan bangsal menggunting rambut miliknya. FOTO Syaherah Mustafa
AHMAD Zainun dan isteri, Faridah (dua dari kiri) bersama dua anak mereka di hadapan bangsal menggunting rambut miliknya. FOTO Syaherah Mustafa

Ahmad Zainun berkata, dia perlu lebih berusaha untuk mencari wang sebagai persediaan untuk anak sulungnya, Noor Syazwani, 20, yang mendapat tawaran belajar dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda (sains) Pengurusan Projek Binaan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, dia mahu anak harapannya itu belajar ke peringkat yang tertinggi demi mencapai cita-cita sekali gus dapat menjadi insan berjaya dengan kehidupan jauh lebih baik.

"Khidmat gunting rambut dibuka bermula 2 petang sehingga 5 petang kerana di sebelah pagi saya keluar menoreh (getah) demi sesuap nasi. Bangsal ini banyak berjasa buat saya sekeluarga selain berharap agar ia tetap kukuh supaya saya dapat mencari wang untuk menyara isteri dan anak-anak.

"Saya bersyukur masih ada pelanggan yang mencari saya untuk menggunting rambut walaupun terpaksa menutup kedai buat sementara waktu akibat pandemik Covid-19," katanya yang menerima kunjungan wakil Yayasan Raja Shamri (YRS) di rumahnya di Kampung Tok Pelanduk, Batu Karang di sini, hari ini.

Wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar, berkongsi perancangan pihaknya untuk membeli kerusi gunting rambut yang baru selain menambah beberapa keperluan di bangsal berkenaan agar Ahmad Zainun dapat mencari rezeki dengan lebih baik.

Selain itu, YRS turut membantu persiapan Noor Syazwani, yang juga mempunyai masalah jantung sebelum anak gadis berkenaan melanjutkan pelajaran ke USM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 1:18 PM
AHMAD Zainun mencari rezeki menggunting rambut di bangsal miliknya yang berdindingkan kayu gelam dan beratapkan zink terbuang. FOTO Syaherah Mustafa
AHMAD Zainun mencari rezeki menggunting rambut di bangsal miliknya yang berdindingkan kayu gelam dan beratapkan zink terbuang. FOTO Syaherah Mustafa