TOKNYA menunjukkan kemahirannya menggunting rambut  di kedainya.
TOKNYA menunjukkan kemahirannya menggunting rambut di kedainya.
BERNAMA

SUKAR mempercayai namun masih ada yang mengenakan harga RM2.50 untuk menggunting rambut.

Di sudut ruang tamu sebuah rumah di perkampungan tradisional masyarakat Cina di Padang Katong, kelihatan seorang wanita warga emas masih gagah menggayakan gunting di jari memotong rambut pelanggan.

Sesekali, Teh Khai Looi, 80, yang lebih mesra dengan panggilan Toknya memandang ke arah lima pelanggan yang setia menunggu giliran.

“Dulu (1962) upah RM0.25 sen sekepala (seorang), sekarang RM2.50, sangat memadai bagi Toknya.

“Buat apa cari untung lebih, bukan boleh buat apa pun,” katanya.

Dia mengekalkan harga itu selagi khidmatnya diperlukan dan tidak bercadang menaikkan harga walaupun kedai gunting rambut lain di Kangar mengenakan bayaran antara RM20 hingga RM25 seorang.

“Toknya gunting rambut bukan kerana duit, apatah lagi untuk kaya. Apa yang Toknya buat mencari kepuasan diri sendiri, kalau tak bekerja nanti badan mula rasa sakit-sakit,” katanya.

Dalam sehari, dia hanya menerima enam hingga 10 pelanggan dan kebanyakannya pelanggan tetap.

Walaupun jumlah pelanggan tidak ramai kerana tidak menawarkan pakej menarik seperti di salun rambut masa kini, pelanggan tidak putus-putus mengunjungi salunnya yang beroperasi mulai jam 11 pagi hingga 7 malam.

Menurutnya, pada zaman mudanya iaitu 1957, dia pernah merantau ke Pulau Pinang dan bekerja selama lima tahun di salun bagi mengasah kemahiran menggunting dan mendandan gaya rambut wanita.

Sebelum itu, Teh hanya mempelajari sendiri kemahiran menggunting rambut tanpa bimbingan sesiapa kerana pada zaman itu tiada kursus mengenai potongan dan dandanan rambut.

“Selepas berkahwin dengan mendiang suami pada 1962, Toknya balik menetap di Perlis dan membuka kedai gunting rambut di rumah,” katanya.

Sementara itu, jururawat swasta Nazirah Anuar, 28, berkata, dia mula menggunting rambut di sini sejak darjah satu hingga hari ini.

“Saya mula dibawa emak untuk menggunting rambut di kedai Toknya sejak darjah satu. Sejak itu saya menjadi pelanggan tetap Toknya kerana berpuas hati dengan hasil kerja tanganya,” katanya.

Sebagai orang tua, menurutnya, Toknya sering memberi nasihat berguna supaya bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan dan tidak cepat berputus asa.

Hadma Hassan, 56, pula selesa menggunakan khidmat Toknya kerana belum ada tukang gunting lain menawarkan perkhidmatan gunting rambut yang memuaskan hatinya.

Hadma berkata, harga dikenakan murah menyebabkan dia sering ke kedai tukang gunting rambut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 8:01 AM